Dr. Danial Zainal Abidin

Membina Minda Muslim Super
Random Image

Laman DanialZainalAbidin.Com adalah ruangan perkongsian minda Dr. Danial Zainal Abidin. Di laman ini pelbagai idea, tip, pandangan, artikel dan panduan bagi meningkatkan nilai dalam kehidupan kita. Di ruangan ini juga para pelawat dapat berinteraksi secara langsung dengan Dr. Danial Zainal Abidin melalui ruangan diskusi di artikel dan Soal Jawab Dr. Danial.


Arkib Artikel Bagi ‘Minda Dr. Danial’


TAZKIRAH NUZUL QURAN

“Anda melihat manusia membaca al-Quran dengan cepat. Mereka membaca huruf-huruf al-Quran dengan suara yang baik (sebutan) yang baik. Mereka berdebat tentang baris di bawah, di hadapan dan baris di atas seakan-akan mereka sedang membaca syair-syair Arab. Merenungi maksud al-Quran serta mengamalkannya menjadi tidak penting bagi mereka. Adakah dalam dunia ini wujud keadaan terpedaya yang lebih daripada itu?” (Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali (terjemahan Prof. TK. H. Ismail Yakub MA), Pust. Nasional, 1981, Singapura, jil 6 hal 34)

 

 

Hari ini ialah hari ke-16 Ramadan 1429 Hijrah, bersamaan 16 September 2008. Di musim Ramadan ini ramai yang mengaji, bertadarus atau membaca al-Quran. Ia sememangnya satu amalan yang baik yang mendatangkan pahala, insya-Allah. Namun siapakah yang sebenarnya membaca al-Quran di sisi Allah?

 

Berhubung dengan ini Allah berfirman, “Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Baqarah ayat 121)

 

Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa mereka yang benar-benar membaca Kitab Allah ialah mereka yang membacanya ‘haqqa tilaawatih’. Siapakah mereka itu? As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir mendatangkan pendapat sahabat Abdullah ibn Masud ra yang berkata: “Demi Allah, maksud membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya (iaitu haqqa tilaawatih) ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul.”

 

Untuk tujuan ini kita perlu memahami apa yang kita baca dan bukan sekadar membaca, mengaji dan bertadarus begitu sahaja. Allah berfirman, “Apakah mereka tidak tadabur al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.” (Surah An-Nisak ayat 82)

 

Ketika menerangkan maksud ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan”.

 

Ramai dari kalangan umat Islam di Nusantara pada hari ini lebih mengutamakan pembacaan al-Quran mengikut tajwid yang betul tanpa banyak memberi tumpuan kepada kefahaman ayat, sedangkan Allah menghendaki umat Islam memahami dan mengkaji isi-isi Al-Quran. Apabila mesej al-Quran dapat difahami dengan betul, barulah penghayatan akan dapat dilaksanakan dengan baik.

 

Selamat MENGAJI dan MENGKAJI.

Oleh Dr Danial Zainal Abidin (www.mindasuper.com)

TUDUHAN LIWAT

Fatwa Dr Yusuf Qardawi Tentang Tuduhan Zina / Liwat. Tarikh: 19 Nov 1999, Masa: 02:50:00

Menuduh orang-orang yang bersih dengan tohmahan-tohmahan, terutama tohmahan-tohmahan yang besar seperti berzina, liwat dan membunuh merupakan satu perbuatan yang diharamkan secara tegas oleh Islam. Bahkan ia termasuk dalam dosa-dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah dan azab-Nya.

Sebabnya, tohmahan-tohmahan seperti itu berupaya untuk menyerang kemuliaan diri orang-orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Ianya juga boleh menyebabkan orang ramai berburuk sangka terhadapnya… Perkara sedemikian juga menyebabkan tersebarnya kejahatan di kalangan orang-orang yang beriman. Oleh itu, al-Quran mengecam keras perilaku seperti ini dan mengancam para pendusta yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t.: “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab 33:58)

Allah s.w.t. juga berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik yang lengah (iaitu tidak pernah terlintas untuk melakukan perbuatan yang keji) lagi beriman (dengan tuduhan zina), mereka terkena laknat di dunia dan di akhirat dan bagi mereka azab yang besar. Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya dan tahulah mereka bahawa Allah lah yang Benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).” (Surah an-Nur 24: 23-25)

Para ulama telah sepakat (ijmak) mengatakan bahawa dosa dan hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan ke atas lelaki mukmin adalah serupa dengan dosa dan hukuman terhadap mereka yang melemparkan tuduhan ke atas wanita mukminat.

Ayat di atas turun dalam bentuk seperti ini (menggunakan perkataan mukminat) kerana ayat tersebut diturunkan khas sebagai pembelaan terhadap Ummul Mukminin, Aishah As-Siddiqah binti Abu Bakar As-Siddiq. Beliau merupakan salah seorang isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w. selepas Khadijah, Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan dengan tuduhan yang keji.

Orang-orang munafik menyebarkan khabar angin tentangnya dan melemparkan tohmahan bahawa beliau telah melakukan skandal dengan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah diragui kebersihan peribadinya. Orang-orang munafik benar-benar telah menggunakan peluang ini dengan mengobarkan api fitnah.

Demikianlah kisah yang berkaitan dengan “Hadith al-Ifki” atau “Insiden Fitnah” yang telah meresahkan rumah Nabi s.a.w., rumah Abu Bakar as-Siddiq serta seluruh bandar Madinah. Akhirnya turunlah ayat al-Quran bagi menerangkan perkara tersebut secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti sediakala. Ayat tersebut juga telah membisukan lidah para pendusta dan membersihkan kembali nama Aishah yang jujur dan suci daripada segala tuduhan jahat. Selepas turunnya ayat-ayat tersebut, kaum Muslimin pun merasa lega kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit itu.

Bacalah firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nur: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ‘Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.’ Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.” (Surah an-Nur 24:11-13)

Inilah hukum Allah yang tegas: sesiapa yang menuduh orang lain telah melakukan perbuatan keji seperti berzina (atau liwat) maka dia mesti mengukuhkan tuduhannya itu dengan mendatangkan empat orang saksi yang adil dan tidak cacat keperibadiannya. Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang tertuduh sedang melakukan perbuatan zina (liwat) secara jelas dengan mata kepala mereka sendiri… Jika orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat saksi, maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi Allah s.w.t. Allah menegaskan bahawa si pendusta ini mesti dikenakan hukuman syariah, bahkan dia terkena tiga jenis hukuman yang tertera al-Quran al-Karim, berdasarkan firman Allah s.w.t. “Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) dengan 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah an-Nur 24:4, 5)

Ayat-ayat yang mulia di atas menyebutkan tiga jenis hukuman terhadap jenayah yang keji itu:

PERTAMA: Hukuman fizikal, iaitu disebat sebanyak lapan puluh sebatan. Sebatan yang menyakitkan tubuh badannya itu merupakan balasan terhadap perbuatannya menyakiti peribadi orang-orang yang baik. Tuduhan yang telah disebarkannya itu juga boleh memusnahkan kehidupan orang-orang yang dituduh berserta kaum keluarganya.

KEDUA: Hukuman moral dan sosial, iaitu dengan menggugurkan segala pertimbangan moral dan sosial orang yang menuduh itu. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, sivil, sosial, politik tidak boleh diterima pakai. Ia mencakupi seluruh jenis kesaksian…..

KETIGA: Hukuman agama, iaitu dengan menggelarnya sebagai orang yang fasik dan memasukkannya ke dalam golongan ‘fasiqun’. Al-Quran menyebutkan kefasikan sebagai lawan daripada keimanan. Allah s.w.t. berfirman: “Maka adakah orang-orang yang beriman serupa dengan orang yang fasik? Mereka tidak sama. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka bagi mereka syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Adapun orang-orang yang fasik, maka tempat mereka ialah neraka.” (as-Sajdah 32: 18-20)

Walau bagaimana pun, dengan rahmat dan kasihnya Allah masih lagi membuka pintu taubat bagi mereka yang ingin menyucikan dan membersihkan diri. Firman Allah: “Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nur 24: 5)

Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa taubat hanya diperkenankan bagi memansuhkan hukuman terakhir, iaitu penggelaran dirinya sebagai fasik. Taubat tidak memansuhkan hukum gugurnya kesaksian dari pihaknya. Sebab perkara ‘gugurnya kesaksian’ dalam ayat di atas disifatkan Allah sebagai kekal, “Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya”.

Jenayah melemparkan tohmahan itu boleh menjadi lebih besar jika orang yang dituduh dikenali oleh khalayak ramai sebagai orang yang istiqamah dan salih. Mereka mengenalnya sebagai orang yang baik dan tidak pernah menyaksikan sebarang kejahatan dilakukannya. Sesungguhnya suara orang ramai merupakan pena-pena kebenaran. Kesaksian yang boleh dipertimbangkan hanyalah kesaksian orang-orang yang salih dan baik.

Pandangan dan sikap Islam dalam menjaga maruah, kemuliaan dan kehormatan diri seseorang amat tegas dan keras. Islam tidak membenarkan seorang Muslim menyakiti perasaan seorang saudaranya sesama Muslim dengan perkataan menghina, sama ada di hadapannya atau di belakangnya. Allah berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah dari kebanyakan dari syak wasangka, sesungguhnya sebahagian daripada syak wasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat 48: 12)

Dalam satu hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap Muslim diharamkan untuk mencerobohi darah, harta dan maruah saudaranya sesama Muslim.”

Jika Islam tidak menentukan sikap yang tegas seperti ini tentu akan terjadi perbalahan di antara selurah manusia, manakala kemuliaan serta maruah diri mereka akan ditindas. Akhirnya musnahlah seluruh hak dan kebebasan.

Bertolak atas kesedaran ini pula Islam memerintahkan kita untuk tidak menceritakan aib orang lain demi menjaga maruah dan peribadinya. Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada seseorang yang menggesa Ma’iz untuk mengaku berzina sehingga dijatuhkan hukuman rejam, “Jika engkau tutupinya dengan bajumu tentu lebih baik untukmu”. Rasulullah juga bersabda: “Seluruh umatku akan memperoleh pengampunan, kecuali orang-orang yang suka menyebarkan aib orang lain.” Dan baginda bersabda: “Sesiapa yang menutupi kesalahan seorang Muslim nescaya Allah akan menutupi (kesalahannya) di dunia dan akhirat.”

Allah s.w.t. juga berfirman dalam al-Quran al-Karim: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (Surah an-Nur 24: 19)

 

Rujukan: http://www.qaradawi.net/     (1999)

DIARI DR DANIAL 22-23 FEB

Jumaat 22 Feb: Di sebelah paginya aku menyampaikan ceramah kepada para pelajar di Kolej Kediaman Pendita Za’aba UKM berkaitan Rahsia Kejayaan. Selepas itu (sebelum solat Jumaat) aku diminta menjadi Juri Jemputan Khas bagi Pertandingan Pidato. Antara tajuk pidato yang dipertandingkan ialah “Teknologi Maklumat Faktor Kecemerlangan Pelajar”, begitulah lebih kurang bunyi tajuknya. Kesemua pemidato mengutarakan hujah tentang kebaikan teknologi maklumat. Apabila aku dijemput menyampaikan ucapan sebelum nama pemenang diumumkan, aku menyentuh tentang aspek yang kontra daripada tajuk. Aku mengatakan mengikut psychologytoday.com Ogos 2006, peratus pesakit mental di dunia meningkat dengan mendadaknya sejak tahun 1945 (peningkatan 10 kali ganda). Antara sebabnya ialah teknologi yang mendekatkan dan mengasyikkan manusia kepada teknologi dan mesin dan menjauhkan hubungan manusia sesama manusia. Justeru perlu ada keseimbangan…..

Jumaat 22 Feb: Di sebelah malamnya aku berceramah kepada pelajar-pelajar sains di Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaysia. Tajuknya ialah “Sains Membuktikan Kebenaran Quran”. Alhamdulillah pelajar-pelajar yang rata-ratanya cerdik itu membuat kenyataan yg memberangsangkan dengan mengatakan bahawa mereka insaf dan hendak mendekati Quran selepas ini. Tetapi bagaimanakah caranya? Aku mencadangkan agar mereka ‘mengaji dan mengkaji’ 10 ayat setiap hari. Aku juga mencadangkan agar mereka membeli kitab tafsir rujukan, sebagai contoh, Tafsir al-Azhar oleh Hamka. Dengan itu kefahaman mereka tentang ayat tidak terbabas…..

Sabtu 23 Feb: Tepat jam 12.00 tengah hari aku menyampaikan ceramah “Quran membentuk Minda Saintifik” di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)……………………………….

DIARI DR DANIAL 11-12 FEB

Isnin 11 Feb, 2008: Aku berasa sedih kerana seorang yang aku kenali disyaki mengalami kerosakan buah pinggang kesan dari penyakit kencing manisnya yang tidak terkawal… Aku ingin berpesan, jauhilah dari mengambil karbohidrat (seperti gula, nasi, mi, bihun, laksa, roti canai dan seumpamanya) secara berlebihan. Sebaliknya lebihkan pengambilan sayur-sayuran dalam menu harian…. Mengikut perangkaan, pesakit kencing manis di Malaysia berjumlah lebih kurang 1.2 juta. 10% daripadanya akhirnya mengalami komplikasi dalam bentuk kerosakan buah pinggang.  14th Report of the Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2006 pula melaporkan, 2,500 kes-kes baru kerosakan buah pinggang dikesan setiap tahun di Malaysia dan 57% daripadanya berpunca daripada penyakit kencing manis. Justeru awasilah pemakanan dan gaya hidup kita…

Selasa 12 Feb, 2008: Aku menerima panggilan telefon dari seorang ibu di Pantai Timur. Beliau meminta nasihat berhubung anak beliau yang cacat dalam kandungan. Beliau sedang mengandung 5 bulan. Anak itu hidup cuma cacat… Aku meminta beliau bersabar dan meminta agar beliau merujuk kepada Mufti. Beliau enggan merujuk kepada Mufti dan meminta aku sendiri memberikan pandanganku.. Aku merujuk kepada Perhimpunan Fikah Islam (Majma’ Al-Fiqh Al-Islami) yang diadakan di Mekah Al-Mukarramah dari 10-17 Februari 1990. Antara ketetapan yang telah dibuat ialah, “Apabila (sesuatu kandungan telah hidup) pengguguran tidak harus dilakukan walaupun bayi itu cacat, melainkan di dalam keadaan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa ibu sahaja..” Beliau akur dengan pandangan itu, alhamdulillah… Kepada Allah aku mengadu…..

PENGALAMAN DI TV9

Minggu lepas dari 13 hingga 16 Disember 2007, tiba-tiba aku di datangi aktiviti yang tidak dirancang. Pada asalnya aku sudah kesibukan untuk memantau ibu yang mengalami sakit paru-paru menyebabkan beliau terpaksa berada di ICU selama 10 hari. Pada hari Khamis (13 Disember) aku mendapat panggilan telefon daripada Perpustakaan Negara mengatakan buku Quran Saintifik di pilih untuk diedarkan kpd Perpustakaan Desa di seluruh negara dan aku perlu datang ke KL pada keesokan harinya untuk menandatangani LO (Local Order). Terkejut aku dibuatnya.

Mengapa kelam kabut sangat mereka ini? Namun aku terus menempah tiket dan bertolak ke KL pada 14 Disember selepas subuh. Selepas itu terus bertolak balik dan setibanya di P Pinang sempat bersolat Jumaat di Masjid Sg Tiram berdekatan dengan Lapangan Terbang Bayan Lepas. Selepas itu terus membuat urusan agar ibu dipindahkan daripada Hospital Lam Wah EE ke Hospital besar P Pinang selepas mendapat lampu hijau daripada Dr Irfan dari unit Dada HBPP.

Kemudian bersiap sedia untuk bertolak ke Kota Bharu pula bagi menyampaikan ceramah berkaitan Quran dan Sains di Konvensyen Kebangsaan Penghayatan Al-Quran sempena Pameran Mukjizat Al-Quran 2007 pada hari Sabtu 15 Disember, 2007.

Dalam kesibukan itu tiba-tiba aku mendapat panggilan dari TV9 mengatakan aku dijemput menjadi ahli panel bagi rancangan Halaqah pada hari Ahad 16 Disember bersama-sama dengan Ustaz Badli Shah dan dipengerusikan oleh Ust Ahmad Syukri. Tajuknya ialah “Dari Bumi ke Angkasa”. Memandangkan tajuknya selari dengan fokusku selama ini aku menerimanya selepas meminta nasihat daripada adik-beradik dan keluarga kerana ketika itu ibu masih berada di Hospital. Selesai berkonvensyen di KB, aku bertolak balik ke Pulau Pinang pada pagi Ahad 16 Disember 2007.

Setiba di P Pinang aku bersiap untuk menziarahi ibu dan kemudian tepat jam 3.00 petang aku menyampaikan kelas Tafsir seperti mana biasa di Gelanggang Budaya Batu Uban. Kelas ini amat aku sayangi dan aku tidak akan membatalkannya tanpa sebab-sebab kecemasan. Allah mengizinkan aku mengendalikan kelas ini sejak tahun 1984 lagi. Ia bermula dengan pentafsiran surah Fatihah dan sekarang sudah memasuki surah al-Fatah. Keletihan dan sedikit kesibukan bukannya alasan untuk membatalkan kelas ini. Ia amal jariahku. Tepat jam 4.15 petang aku menamatkan kelas tafsir dan terus bertolak menuju ke Bayan Lepas kerana penerbanganku dijadualkan pada jam 5.10 petang.

Dalam perjalanan aku membelek-belek soalan yang bakal diutarakan oleh Ust Ahmad Syukri dalam slot Halaqah nanti. Memandangkan aku amat kesuntukan masa aku perlu bergantung kepada apa yang telah melekat di dalam otakku… Alhamdulillah, di studio Puan Rozi memaklumkan kepadaku tentang prosedur yang bakal dilalui ketika rancangan sedang berjalan. Ketika itu, aku ditemani dua orang rakanku, iaitu, Encik Anuar, rakan sekampungku dari Sungai Ara P Pinang, dan encik Ikram, dari PTS Millennia Sdn Bhd. Memandangkan ia siaran langsung semuanya perlu diatur dengan baik. Syukur, semuanya berjalan dengan baik dan sistematik tanpa banyak masalah.

Antara soalan yang menarik perhatianku ialah yang berkaitan aeronautik, iaitu kajian tentang aspek-aspek penerbangan, dan yang berkaitan dengan astrologi. Berhubung dengan aeronautik, aku menceritakan tentang tokoh Islam yang bernama Abbas ibn Firnas, yang hidup pada abad ke-9 di bumi Andalus (Spain). John H. Lienhard dalam bukunya The Engines of Our Ingenuity mengatakan beliau orang pertamamencipta payung terjun (a primitive version of the parachute). Tidak berapa lama selepas itu beliau mencipta peluncur atau glider dan inilah peluncur yang pertama dicipta manusia. Maklumat tentang penciptaan alat penerbangan ini (Firnas’ flying machines) akhirnya tersebar ke seluruh Eropah.

Philip Hitti dalam bukunya History of the Arabs telah berkata, “Ibn Firnas was the first man in history to make a scientific attempt at flying”. Ia bermaksud Ibn Firnas merupakan orang yang pertama dalam sejarah yang membuat percubaan untuk terbang dengan menggunakan pendekatan saintifik. Kemudian aku ditanya tentang astrologi……………………….. BERSAMBUNG

MENGAPA AKU MENULIS?

Syukur kepada Allah, hingga ke hari ini saya telah menulis 10 buah buku. Manuskrip buku ke 11 saya bertajuk “Minda Muslim Super” telah pun dihantar kepada pihak PTS.  Seringkali saya disoal, “Bagaimana doktor mendapatkan masa untuk menulis sedangkan doktor sibuk dengan pengurusan klinik, menjadi motivator radio Mutiara FM, mengurus syarikat Danial Zainal Consultancy, berceramah, menjadi fasalitator pelbagai syarikat….. dll”. Seringkali juga saya akan menjawab, “Allah mempermudahkan bagi saya”…. Pada tanggal 17 Februari tahun 2005, Berita Harian telah memuatkan wawancara Salbiah Ani (wartawan BH bahagian Sastera) dengan saya, selepas penerbitan buku 7 Formula Individu Cemerlang. Mungkin ada baiknya saya paparkan semula isi wawancara itu. Semoga ada manfaatnya…………….

Ikuti wawancara Pengarang Sastera, Berita Harian, SALBIAH ANI (BH), dengan Dr. Danial bin Zainal Abidin (DD):

BH: MENGAPAKAH Dr Danial memilih menulis buku yang sama sekali berbeza daripada bidang pengkhususan iaitu perubatan moden?

DD: Sebenarnya ada sebuah buku saya menjurus kepada topik perubatan moden iaitu ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’ dan kini memasuki edisi ke-2. Saya akui sebahagian buku saya yang lain tidak memfokuskan aspek perubatan moden. Bagi saya Islam adalah agama yang lengkap lagi komprehensif dan tidak hanya memperkatakan perubatan semata-mata. Justeru saya perlu memperkenalkan Islam yang lengkap kepada masyarakat. Tambahan pada masa ini masyarakat secara amnya sedang ditimpa pelbagai penyakit berkaitan kerohanian, cara fikir, sikap dan cara hidup. Formula Islam yang lengkap perlu diketengahkan untuk merawat penyakit ini.

BH: Apakah perkara yang menggerakkan Dr Danial dalam bidang penulisan?

DD: Saya terangsang dengan firman Allah swt dalam surah Ali Imran, ayat 110 bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”. Ayat ini menuntut umat Islam agar menjadi satu umat yang proaktif dan bukannya pasif. Mereka disuruh bergerak dan berperanan terutamanya dalam konteks mengajak manusia kepada makruf dan mencegah kemungkaran tanpa melupakan iman diri sendiri. Penulisan antara medan yang baik untuk menyebarkan konsep ini. Apabila kita menulis kita sedang memelihara ilmu dan sejarah. Tanpa penulisan, ilmu dan sejarah akan hilang. Pada hari ini kita mengenali pemikiran Ibn Khaldun, Ibn Sina, Imam Al-Ghazali, An-Nawawi dan ramai lagi kerana penulisan mereka dan khazanah ini perlu dikembangkan.

BH: Bagaimanakah Dr Danial ‘mencuri’ masa untuk menulis di sebalik jadual kerja sebagai doktor perubatan, pakar runding dan pengelola slot Rangsang Minda dan Islam Moden di Radio Malaysia Pulau Pinang?

DD: Allah mempermudahkan ini bagi saya. Sebenarnya saya kerdil berbanding pencapaian tokoh Islam pada abad ke-9 seperti Al-Kindi. Beliau berjaya menghasilkan 250 buku bidang astronomi, matematik, fizik, geometri, perubatan, psikologi dan mantik. Bagaimanapun saya mengakui pengurusan masa penting dalam kehidupan. Antara taktik pengurusan masa yang saya gunakan ialah meletakkan matlamat serta merancang. Saya mewajibkan diri untuk berdisiplin demi mengejar matlamat itu. Saya juga belajar untuk berkata ‘tidak boleh’ pada ajakan serta jemputan yang tidak penting.

BH: Apakah hasrat Dr Danial apabila mengepilkan petikan kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yangsedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untukmenaikinya’ dalam buku terbabit?

DD: Kata-kata Yusuf Islam ini bagi saya begitu bermakna kerana ia dilafazkan oleh seorang yang dilahirkan dan dibesarkan di Barat. Beliau sedar cara hidup Barat adalah seperti kapal yang sedang tenggelam atau fatamorgana yang memperdayakan. Justeru beliau memilih Islam sebagai cara hidup. Hanya orang yang ada ketajaman mata hati yang mampu membuat pendirian seperti itu. Cara hidup Islam mementingkan takwa dan ilmu. Cara hidup Barat mementingkan material serta nafsu.

BH: Mengapakah Dr Danial memilih untuk membongkar rahsia kejayaan dan kecemerlangan individu sejak beribu tahun dulu dengan menggunakan al-Quran sebagai landasan perbincangan dalam ‘7 Formula Individu Cemerlang’?

DD: Al-Quran ialah kitab Allah yang Maha Agung dan boleh dikiaskan seperti satu peta yang lengkap. Untuk memahami kehebatannya, kitab ini perlu dihidupkan secara praktikal. Apabila manusia menghidupkannya, mereka akan menjadi golongan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Golongan yang berjaya menghidupkannya ialah sahabat dan umat Islam pada peringkat awal terdahulu. Kesan daripada penghidupan itu mereka berjaya membina satu tamadun gilang gemilang. Tamadun ini berjaya mengeluarkan Barat dari Zaman Kegelapan. Umat Islam pada hari ini sedang berada di tahap yang paling hina. Justeru di dalam buku ‘7 Formula Individu Cemerlang’ saya menjadikan umat Islam terdahulu sebagai contoh kerana mereka berjaya menjadi pemangkin kepada perubahan yang mengagumkan dan kejayaan itu berlaku dirangsang oleh Al-Quran.

BH: Mengapakah Dr Danial mengatakan ‘7 Formula Individu Cemerlang’ ditulis untuk mereka yang tidak mahu menjadi seperti dinosour yang pupus semasa dunia berubah?

DD: Memang benar di muka depan buku ini saya mengatakan perkara yang disebutkan ini. Dinosaur adalah satu makhluk yang besar dan pernah bermaharaja di dunia. Apabila perubahan berlaku di dunia disebabkan komet berlanggar dengan bumi, dinosaur tidak mampu menangani perubahan itu. Akhirnya mereka mati dan pupus. Jumlah umat Islam pada hari ini melebihi 1 bilion. Perubahan pula sedang berlaku dengan pesat. Malangnya ramai umat Islam yang leka dan tidak peka mengenai perkara ini. Mereka yang berminat dengan Islam pula asyik berbicara dan bertengkar mengenai perkara ranting dan remeh. Fanatik sempit wujud di mana-mana: fanatik mazhab, fanatik kelompok dan fanatik ideologi. Akhirnya kerja penting seperti dakwah kepada bukan Islam, penyelidikan dalam bidang baru seperti Al-Quran dan sains dan pembinaan kemahiran baru untuk penyebaran dakwah diabaikan. Saya khuatir jika keadaan ini berterusan, umat Islam akan menjadi tidak relevan. Justeru umat Islam perlu berubah dan berani membuka minda serta keluar dari kepompong lama mereka untuk menjadi gilang gemilang pada hari ini.

BH: Apakah karya terbaru yang sedang ditangani?

DD: Saya sedang membaca dan menganalisis maksud seluruh Al-Quran untuk melahirkan buku baru, ‘Tip Kecemerlangan Dari al-Quran’. Semoga Allah membantu saya.

BH: Bagaimanakah cara untuk menyedarkan umat Islam bahawa mereka gagal melihat Islam sebagai berlian yang ditinggalkan?

DD: Islam boleh diumpamakan seperti batu berlian dan ramai yang membuang berlian ini dan memilih kaca. Mengapa Islam yang hebat dipinggirkan? Ia mungkin berpunca daripada cara mengajar dan sumber ajaran. Cara mengajar yang menekankan fikah ranting, hafalan tanpa kefahaman, pendekatan tidak saintifik dan penekanan kepada perkara remeh boleh menyebabkan sebahagian manusia menjauhi Islam. Di sudut sumber, ramai daripada kalangan orang Islam tidak memahami al-Quran.

BH: Bagaimanakah umat Islam dapat digerakkan agar menjadi manusia yang suka membaca dan menghargai karya berilmu?

DD: Umat Islam, terutamanya di Malaysia, rata-ratanya boleh membaca dan sering kali membaca. Yang menjadi isunya ialah bahan yang dibaca. Tabiat suka membaca bahan berkualiti perlu ditanam sejak kecil. Setiap rumah perlu ada kutubkhanah kecil. Ibu bapa boleh memberi galakan dengan memberi hadiah jika buku berkualiti dibaca oleh anak-anak di samping mereka menjadi contoh dalam aspek ini. Sudut perbincangan buku di sekolah boleh diwujudkan. Penulis perlu kreatif dengan penulisan mereka untuk menarik minat pembaca. Media massa elektronik seperti TV, perlu kerapkan pengiklanan buku yang baik. Ilmuwan perlu ditonjolkan daripada artis agar ilmu dapat dimartabatkan.

 

 

 

DEMI MASA (CATATAN 23 RAMADAN, 5 OKT. 2007)

Selesai solat subuh berjemaah, tiba-tiba minda ini teringat kepada surah nombor 103 iaitu surah al-Asr. Berhubung dengan surah ini Imam Syafie berkata, “Andaikata tidak diturunkan apa-apa surah kecuali surah ini, ia sudah cukup bagi manusia kerana isinya merangkumi ilmu-ilmu yang terdapat dalam al-Quran”. (al-Asas fit Tafsir,  jil. 11, ms 6667) Tambahan daripada itu, Imam Tabrani meriwayatkan dalam al-Awsath dan Baihaqi dalam asy-Sya’ab, jika dua orang sahabat Nabi bertemu mereka tidak akan berpisah tanpa membaca surah ini disusuli dengan memberi salam.

Allah berfirman, “Demi masa! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesanan dengan kebenaran serta berpesan-pesanan dengan kesabaran”.

Ayat-ayat ini mengingatkan kita bahawa kita sentiasa rugi kerana terbabas keutamaan. Bukannya kita tak buat kerja, tetapi kerja yang kita buat bukan yang utama. Bukannya tidak beraktiviti tetapi aktiviti yang dilakukan tidak utama. Bukannya tidak sibuk tetapi masalahnya kita sibuk pada perkara yang tidak utama. Justeru, apakah perkara yang utama? Dalam ayat ini Allah sebutkan empat perkara utama yang perlu kita jaga dan lakukan, iaitu, memelihara iman, mengerjakan amal yang salih, berperanan dengan menasihati serta mengajak  orang kepada kebaikan, serta mempunyai sikap yang betul iaitu bersabar dalam kehidupan.

Iman yang mantap memerlukan dalil dan hujah. Justeru ilmu adalah penting agar iman keyakinan tidak tergugat. Berhubung dengan amal, ramai orang melakukan amal tetapi Allah tidak menerima sebarang amal. Allah hanya menerima amal yang salih. Amal yang salih ialah amal yang dilakukan dengan hati yang ikhlas berpandukan landasan syariat. Kedua-duanya (iaitu ikhlas dan syariat) perlu wujud serentak. Iman dan amal salih untuk diri sendiri perlu disusuli dengan usaha untuk memperbaiki keluarga dan masyarakat. Untuk itu kita perlu prihatin tentang apa yang berlaku dalam masyarakat serta mempunyai kemahiran untuk membuat perubahan yang positif dalam masyarakat. Dalam berperanan kita tidak boleh tergesa-gesa dan main hentam keromo. Justeru perlu ada kesabaran…

Semoga Allah memberikan kepada kita kesedaran dan kekuatan untuk melaksanakan agenda-agenda yang utama ini seperti yang terkandung dalam surah al-Asr. Kita bertemu lagi………………….

Dr Danial