Dr. Danial Zainal Abidin

Membina Minda Muslim Super
Random Image

Laman DanialZainalAbidin.Com adalah ruangan perkongsian minda Dr. Danial Zainal Abidin. Di laman ini pelbagai idea, tip, pandangan, artikel dan panduan bagi meningkatkan nilai dalam kehidupan kita. Di ruangan ini juga para pelawat dapat berinteraksi secara langsung dengan Dr. Danial Zainal Abidin melalui ruangan diskusi di artikel dan Soal Jawab Dr. Danial.


Soal Jawab Dr. Danial

Ruangan ini diwujudkan bagi memudahkan para pelawat melontarkan soalan kepada Dr. Danial Zainal Abidin. Pihak Dr. Danial akan melayan sebarang soalan yang dilontarkan. Namun begitu diharapkan para pelawat dapat bersabar sehingga Dr. Danial dapat memberikan jawapan kepada soalan tersebut. Kesemua persoalan yang sudah dijawab akan diterbitkan di ruangan ini.

Bagaimana untuk bertanya soalan?

Mudah sahaja, isikan ruangan yang disediakan di bawah dan tekan butang hantar.

Ruangan Soalan & Jawapan

  1. Rating: +9


    Positive


    Negative

    Doktor, samakah Injil dengan Bible? Wajibkah kita beriman dengan Bible sebagai kitab Allah? Terima kasih.

    Siti Sarah

    Umat Islam beriman dengan kesemua kitab yang diturunkan Allah kepada rasul-rasul-Nya, termasuk Injil. Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 136 yang bermaksud, “Katakanlah: Kami beriman kepada Allah dan apa-apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan ke atas Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakob dan ke-turunannya. Dan kami juga beriman kepada apa yang diturunkan kepada Musa dan Isa, dan apa yang diturunkan kepada nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membezakan seorang dengan seorang yang lain dari kalangan mereka. Dan kami tunduk kepada Allah.”

    Persoalan yang sering timbul ialah, adakah Bible yang ada pada hari ini masih asli dan sama seperti Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa?

    Bab-bab ataupun surah yang terdapat di dalam Bible disebut di dalam bahasa Inggeris sebagai ‘book’ atau ‘buku.’ Berdasarkan ini, Bible ialah himpunan 66 surah atau buku, 39 daripadanya dikenali sebagai kitab Perjanjian Lama atau Old Testament, dan 27 yang lain dikenali sebagai kitab Perjanjian Baru atau New Testament. Kitab Perjanjian Lama mengandungi undang-undang Nabi Musa, kisah-kisah sejarah, puisi dan kebijaksanaan di samping satu bab yang dipenuhi ramalan-ramalan berhubung perkara yang akan datang.

    Kitab Perjanjian Baru pula mengandungi kisah-kisah kehidupan Nabi Isa yang ditulis oleh tokoh-tokoh agama Kristian yang bernama Matthew, Mark, Luke dan John. Tulisan-tulisan ini dikenali sebagai Gospels. Di samping itu, kitab Perjanjian Baru juga mengandungi surah atau buku The Acts yang mengisahkan tentang keadaan agama Kristian di peringkat awal kewujudannya, surat-surat yang ditulis oleh St. Paul dan tokoh-tokoh Kristian terdahulu, dan sebuah buku yang bernama Revelation.

    Bible yang asal tidak wujud lagi pada hari ini, dan hal ini dijelaskan di dalam The Interpreter’s Dictionary Of The Bible, “Tulisan-tulisan asal Perjanjian Baru sudah lama tiada. Perkara ini tidaklah mengejutkan disebabkan sumber-sumber itu ditulis di atas bahan-bahan yang tidak tahan lama..” (The Interpreter’s Dictionary Of The Bible, George Arthur Buttrick, bab ‘Text, NT’ Vol. 1, Abingdon Press, 1962)

    Pendapat yang sama disebutkan juga di dalam The Catholic Encyclopedia, yang bermaksud, “Pendapat yang mengatakan kononnya Bible yang lengkap seperti yang asal masih wujud sebenarnya adalah tidak berasas sama sekali. Bible yang kini menjadi pegangan umum, seperti juga kitab Perjanjian Lama, telah melalui beberapa perkembangan dan proses… sehingga akhirnya isi-isinya diputuskan secara rasmi oleh Majlis Trident atau Tridentine Council.” (The Catholic Encyclopedia, George J. Reid, Online Edition, Vol. III, 1999 di newadvent.org)

    Lantas bagaimana Bible dihasilkan? Bart Ehrman, di dalam The Orthodox Corruption of Scripture berkata: “Manuskrip Bible yang asal sudah tidak wujud lagi pada hari ini. Yang ada ialah salinan yang ditiru daripada salinan-salinan yang sebelumnya. Sebanyak 5,366 daripada salinan-salinan yang tua ini ditulis di dalam bahasa Greek klasik atau Yunani kuno, di antara abad kedua hingga keenam belas Masihi. Yang menarik perhatian ialah, tidak wujud persamaan, kecuali sedikit sahaja, di antara satu salinan dengan salinan yang lain. Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui jumlah sebenar perbezaan dan percanggahan ini tetapi ia mungkin mencecah ratusan ribu.” (The Orthodox Corruption of Scripture, Bart Ehrman, Oxford University Press, 1996)

    Dengan berpandukan salinan-salinan yang tidak sempurna ini, Bible yang ada pada hari ini ditulis dan dibukukan. Justeru, wujud pelbagai perbezaan malah percanggahan di dalam Bible berpunca daripada sumber-sumber ini. Di dalam Peake’s Commentary On The Bible disebutkan: “Memang diketahui umum bahawa Gospel adalah berasaskan khabar-khabar lisan orang-orang Kristian terdahulu, dan hal ini telah melahirkan pelbagai variasi berhubung perkataan dan perlakuan Nabi Isa. Semua ini dilakukan secara sengaja ataupun tidak sengaja oleh penulis-penulis Gospel….” (Peake’s Commentary on the Bible, Thomas Nelson and Sons Ltd, 1919)

    Di dalam meriwayatkan kisah-kisah tentang Nabi Isa, penulis-penulis Bible sering kali tidak menyalin ataupun menceritakan semula kisah-kisah itu dengan tepat, dan hal ini telah diakui sendiri oleh seorang tokoh Kristian yang bernama Bruce M. Metzger di dalam The Text Of The New Testament: Its Transmission, Corruption and Restoration. Beliau berkata: “Penulis-penulis tidak menulis dengan tepat segala sumber yang mereka temui, sebaliknya mereka menulis pentafsiran mereka sendiri berhubung dengan sumber-sumber itu. Mereka melakukannya untuk membetulkan kesilapan penulis-penulis lain, tetapi apa yang sebenarnya berlaku ialah, mereka sendiri dengan tindakan itu telah melakukan kesilapan.” (The Text Of The New Testament: Its Transmission, Corruption & Restoration, Bruce M Metzger, Oxford Univ. Press, 1992)

    Di samping itu, Bible mempunyai pelbagai versi. Pelbagai versi Bible menunjukkan banyak semakan semula dan perubahan-perubahan dilakukan ke atas isi-isi Bible. Konsep ‘Di Sana Hanya Wujud Satu Bible Dan Satu Versi Sahaja’ adalah tidak berasas sama sekali. Bart Ehrman di dalam bukunya, The Orthodox Corruption of Scripture berkata, “Manusia umumnya mempercayai seolah-olahnya di sana hanya wujud satu Bible dan satu versi sahaja. Ini merupakan satu pandangan yang tidak benar kerana kesemua Bible yang ada pada hari ini adalah hasil usaha ‘memotong dan memuatkan’ tulisan-tulisan yang diperoleh dari pelbagai manuskrip yang mana tidak ada satu pun daripada manuskrip-manuskrip itu yang layak dijadikan sebagai bahan rujukan utama.. Justeru, perubahan-perubahan pada teks wujud kerana tindakan penterjemah-penterjemahnya dan kadang kala mereka melakukannya dengan sengaja.. Sebagai contoh, apabila ada seorang penulis Bible menambah sebanyak dua belas ayat di hujung Gospel Matthew, ia jelas menampakkan perbuatan ini memang disengajakan.” (The Orthodox Corruption of Scripture, Bart Ehrman, Oxford University Press, 1996)

    Kesimpulan

    Kontroversi berhubung dengan kesucian dan keaslian Bible akan berterusan sampai ke bila-bila. Beberapa kesimpulan dapat dibuat hasil daripada hujah-hujah yang telah dipaparkan:

    · Manuskrip Bible yang asal tidak wujud lagi pada hari ini. Yang ada ialah salinan yang ditiru daripada salinan-salinan yang sebelumnya, seperti yang dinyatakan oleh Bart Ehrman di dalam The Orthodox Corruption of Scripture.
    · Isi-isi Bible ialah tulisan manusia biasa mengikut pandangan dan olahan manusia biasa. Penulis-penulis Bible sering kali tidak menukilkan sumber-sumber yang mereka temui secara tepat dan ini kadang kala dilakukan dengan sengaja. Hal ini disebutkan oleh Bruce M. Metzger di dalam The Text Of The New Testament: Its Transmission, Corruption & Restoration.
    · Bible mempunyai pelbagai versi. Setiap versi berbeza dari versi yang lain kerana sudah berlaku semakan semula, tokok-tambah dan pembuangan ayat-ayat secara sengaja. Hal ini dinyatakan oleh Bart Ehrman dan Profesor Daniel B. Wallace. Persoalan yang timbul ialah, Bible versi yang manakah Kalam Tuhan yang sebenarnya?
    · Terdapat banyak kecacatan dan percanggahan fakta di dalam Bible sehingga majalah Awake terbitan kumpulan Jehovah Witnesses bertarikh 8 September 1957, menjadikan tajuk 50,000 Errors In The Bible (Wujud 50,000 Kesilapan Di Dalam Bible) sebagai salah satu tajuk utamanya. Paderi Profesor David Jenkins, orang keempat tertinggi di dalam Gereja England, mengakui di dalam London Daily Mail, 1984, bahawa tokok-tambah yang disengajakan memang wujud di dalam Bible.
    · Walaupun Bible tidak dapat diiktiraf sebagai Kalam Tuhan secara keseluruhannya, namun sebahagian ayat-ayatnya memang selari dengan Al-Quran. Ayat-ayat seumpama ini boleh dimanfaatkan di dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat Kristian tentang kebenaran Nabi Muhammad.
    · Berbeza dengan Bible, Al-Quran mempunyai hanya satu versi sahaja dan ia tidak pernah berubah sejak dari dahulu sampailah sekarang. Umat Islam membaca Al-Quran di dalam bahasanya yang asal, iaitu bahasa Arab, menterjemahkannya berpandukan kalimat-kalimatnya yang asal dan mentafsirkannya dengan menggunakan kaedah-kaedah tafsiran yang tertentu. Teks yang asal ini diajar oleh Nabi kemudiannya dihafaz, ditulis dan disimpan oleh sahabat-sahabat Baginda. Tidak pernah berlaku sebarang pengeditan, tokok-tambah mahupun pengubahsuaian ke atas kalimat-kalimat itu hinggalah ke hari ini. Seorang pengkaji, pengkritik dan penulis sejarah pada abad kesembilan belas, Sir William Muir, mengakui hakikat ini di dalam Life of Mohamet.

    Justeru Bible bukannya Injil yang Allah turunkan kepada nabi Isa. Namun tidak dinafikan terdapat beberapa bahagian yang terpencil dalamnya yang selari dengan ajaran Injil yang asal.

    Dr. Danial

  2. Rating: +2


    Positive


    Negative

    Askm…saya seorang remaja yang kerap melakukan onani..saya telah lakukan sejak umur 14 tahun..kini umur saya 24 tahun…saya telah beberapa kali untuk meniggalkan perbuatan ini tetapi tidak berhasil…apakah nasihat dr untuk saya meninggalkan perkara keji ini…apakah kesan daripada perbuatan onani ini…saya amat berharap dapat penjelasan dr..saya risau dr..tolonglah saya..saya tak sanggup lagi nak menanggung dosa perbuatan saya ini…

    Onani atau masturbation ialah perbuatan mengeluarkan air mani dan memuaskan nafsu syahwat dengan menggunakan tangan atau alat-alat tertentu. Tidak ada sebarang nas yang jelas mengharamkan onani, namun kebanyakan ulama mengharamkannya, antaranya Imam Malik. Ia adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka (iaitu orang mukmin yang berjaya) memelihara kemaluan mereka melainkan kepada isteri-isteri dan hamba-hamba perempuan mereka, dan yang demikian itu tidaklah dicela. Dan sesiapa yang mencari yang lain daripada ini, mereka adalah golongan yang melampaui batas. ” (Surah Al-Mukminun ayat 6-7)

    Berdasarkan ayat ini, syariat mengizinkan seseorang melepaskan syahwatnya kepada isteri-isteri dan hamba-hamba perempuan, dan yang lain daripada itu, termasuk onani, adalah diharamkan. Imam Ahmad bin Hanbal mempunyai pendapat yang berbeza. Onani, bagi beliau, termasuk di dalam aspek mengeluarkan sesuatu yang sudah berlebihan, justeru ia diharuskan dan tidak diharamkan.

    Pendapat ini diperkukuhkan oleh Ibn Hazm. Imam Abu Hanifah pula mengharuskannya di dalam dua keadaan, pertama ketika dikhuatiri akan berzina dan kedua, bagi mereka yang tidak mampu untuk berkahwin. Justeru, Islam memberi beberapa kelonggaran berhubung dengan onani. Walau bagaimanapun, apabila seseorang berasa terangsang untuk melakukan onani kerana sering kali melihat gambar dan video lucah atau membaca buku-buku lucah hukum haram adalah lebih sesuai baginya.

    Antara perkara yang perlu dilakukan untuk mengawal gelora nafsu seks ialah:

    1- Menjaga ibadah teruatamanya yang wajib dan melaksanakannya dengan penuh khusyuk. Solat, sebagai contoh, jika dilakukan dengan khusyuk mampu mencegah seseorang daripada kemungkaran dan dosa. Dalam surah al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.”

    2- Laksanakan puasa seminggu dua kali (hari Isnin dan Khamis) atau selang sehari (puasa Nabi Daud). Nabi bersabda yang bermaksud: “Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang berkemampuan hendaklah dia berkahwin sebab perkahwinan dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa.” (Riwayat Bukhari)

    3- Libatkan diri dengan aktiviti kebajikan. Masukilah NGO kebajikan yang sesuai agar penglibatannya dapat dilakukan secara sistematik. Dalam surah al-Haj ayat 77 Allah berfirman, “Rukuk dan sujudlah dan laksanakanlah ibadah serta lalukanlah kebaikan semoga dengan itu kamu akan berjaya”.

    4- Banyaklah memejam mata (bukan tidur) dan pada ketika yang sama denyutkan lidah dan hati untuk berzikir kepada Allah. Dalam surah Al-Ahzab ayat 35 Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat ganjaran yang istimewa daripada Allah. Antaranya ialah, “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” Nabi menggelar golongan yang banyak berzikir kepada Allah sebagai Al-Mufarridun. Mengikut Imam Muslim nabi bersabda, “Golongan Al-Mufarridun akan mendahului.” Sahabat-sahabat bertanya, “Siapakah mereka yang mufarridun itu ya Rasulullah?” Bersabda nabi, “Lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah.”

    5- Berikan tumpuan kepada pelajaran. Letakkan satu matlamat pencapaian yang hendak dicapai berhubung pelajaran itu, sebagai contoh, hendak mendapat semua A, dan selepas itu susuli dengan tumpuan dan usaha. Allah berfirman dalam surah At-Taubah ayat 122, “Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepada mereka supaya mereka itu dapat menjaga diri.” Ayat ini menjelaskan tentang kepentingan sebahagian daripada umat Islam terlibat dalam bidang peperangan dan sebahagian yang lain mendalami ilmu-ilmu agama agar mereka dapat mengingatkan rakan-rakan mereka yang lain tentangnya. Inilah yang dimaksudkan dengan ilmu fardu kifayah dan ilmu fardu kifayah melibatakan agama dan kehidupan, termasuk aspek sains dan teknologi.

    6- Berkawanlah dengan golongan yang baik. Berhati-hatilah ketika memilih kawan. Mengikut Imam Tirmizi, Nabi bersabda yang bermaksud, “Manusia mengikut agama kawannya. Maka hendaklah diperhatikan orang yang hendak dijadikan sebagai kawan”.

    Semoga Allah mempermudahkan.

    Dr Danial

  3. Rating: +3


    Positive


    Negative

    Assalamu’alaikum

    Saya Syahren bertugas di Sabah, ingin mengajukan soalan berkenaan duit yang diperolehi daripada pelaburan. Kawan saya ada bagitau bahawa ada satu syarikat yang menawarkan pelaburan yang membolehkan pelabur meraih RM 400.00 sebulan secara tetap selama 20 bulan apabila pelabur melabur sejumlah RM 5000.00. RM 400.00 tersebut boleh diambil setiap bulan jika mahu. Oleh itu dalam jangka masa 20 bulan, pelabur akan mendapat RM 400.00 x 20 bulan = RM 8000.00 & ditambah dengan duit pelaburan asal iaitu RM 5000.00 menjadikan jumlah keseluruhan RM 13,000.00. Apabila syarikat ditanya adakah RM 400.00 tersebut riba sebab pelabur mendapat RM 400.00 tersebut secara tetap, bukannya berdasarkan hasil pembahagian keuntungan syarikat tersebut. Jawapan yang diperolehi adalah RM 400.00 tersebut diberi oleh syarikat kepada pelabur sebagai hadah atau hadiah & akan tetap setiap bulan selama 20 bulan walaupun syarikat tersebut mengalami kerugian. Sama ada syarikat tersebut betul atau tipu itu perkara kedua & saya akan berhati-hati.

    Soalan saya adakan RM400.00 tersebut dikira riba atau adakah konsep hadah boleh dipakai sebab kebanyakan pelabur yang diketahui adalah daripada golongan yang arif agama.

    Sekian terima kasih

    Jangan tertipu dengan serban, jubah, janggut, celak atau gelaran ustaz dan ustazah apatah lagi berdepan dengan isu-isu baru berkaitan dengan pelaburan dan syariah. Memang terdapat ustaz dan ustazah yang terbabas dalam aspek ini disebabkan mereka bukan pakar syariah dalam aspek ini.

    Daripada soalan anda, model pelaburan yang anda ceburi menuntut anda membayar RM5000.00 wang pendahuluan untuk pelaburan. Dengan pelaburan itu anda diberi jaminan mendapat pulangan RM400.00 setiap bulan selama 20 bulan, iaitu berjumlah 8000.00. Tambahan daripada itu wang pelaburan asal berjumlah RM5000.00 dikembalikan. Justeru dengan pelaburan RM5000.00 anda diberi jaminan memdapat RM13,000.00 dalam masa 20 bulan. Untuk menghalalkan pelaburan itu mereka menamakan wang yang diberikan itu sebagai hadiah. Dari penggunaan kalimat ini pun sudah mendatangkan keraguan kerana pada asalnya disebutkan wang pemberian anda kepada syarikat sebagai pelaburan dan jika pelaburan pulangan yang anda peroleh mestilah beradasarkan konsep untung rugi dan bukannya hadiah dan pulangan tetap…. Pulangan tetap dalam bahasa Inggeris diistilahkan sebagai FIXED RETURN.

    Pelaburan ini mengingatkan saya kepada ’syarikat’ EAINDEX. ‘Syarikat’ ini menyebut di laman webnya, “EAINDEX Plans are designed to simplify the investment process by providing easy calculation values of $ 20, $ 1000 and $ 5000. Each index code provides a FIXED RETURN for period of 100 days from inception”.

    Syarikat ini memberikan satu pulangan tetap atau FIXED RETURN kepada pelabur-pelaburnya. Inilah yang dikatakan Riba kerana pelaburan yang diiktiraf Islam tidak menjamin keuntungan dan pihak pengurusannya tidak boleh membuat sebarang janji untuk memberi keuntungan itu. Pemberian pulangan tetap ini menjadikan pelaburan ini tidak sah sekali gus haram. (Sila rujuk Bada’i as-Sonai’, Al-Kasani, 5/119 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, 5/281 ; Mughni Al-Muhtaj, 3/404 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, 5/44)

    Berhubung dengan isu ini, Majlis Penasihat Shariah Dunia (AAOIFI) memfatwakan, “Apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah aqad pelaburan Mudarabah itu”. (Al-Ma’ayir As-Syaiyyah, AAOIFI, hlm 240). Ia selari dengan sabda nabi yang bermaksud, “(Bagi mendapatkan) keuntungan mestilah dengan menghadapi risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli)”. (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508 ; Albani : Hasan)

    Sehubungan dengan ini, Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis yang bersidang pada 29 Januari 2007 memfatwakan (Fatwa Bil: 2/ 2007), “Mesyuarat turut membuat keputusan bahawa sebarang skim yang menawarkan pulangan mudah tanpa sebarang usaha atau cepat kaya adalah haram. Antara ciri-ciri mengenalpasti skim ini adalah:

    a) Menawarkan pulangan tetentu dan tetap dalam masa tertentu tanpa melakukan sebarang kerja yang setimpal
    b) Tiada penjualan barang yang sebenar
    c) Mempromosikan komisyen dan sistem kaki lebih utama dari menjual produk sebenar”.

    Jauhilah daripada pelaburan yang haram.

    Dr Danial

  4. Rating: +4


    Positive


    Negative

    BOLEHKAH DIKATAKAN BUKU AL QURAN ;COMPUTER SPEAKS DAN KOD 19 OLEH RASHAD KHALIFAH SEBAGAI KAJIAN SAINS AL QURAN?

    Buku ini menceritakan tentang Kod 19. Kod 19 diasaskan oleh Rashad Khalifa. Beliau seorang berbangsa Arab yang kemudiannya berhijrah dan menetap di Tucson, Amerika. Beliau menganggap Kod 19 sebagai satu rahsia yang menunjukkan bahawa al-Quran ialah satu mukjizat. Asas kepada kenyataan Rashad Khalifa ialah firman yang terdapat dalam surah Muddatthir yang bermaksud, “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus). Ia terus-menerus membakar kulit manusia. Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).” (Ayat 27-30). Ayat 30 yang mengatakan “pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas” melahirkan kod 19. Melalui kod 19, bilangan surah, susunan ayat, sistem pengulangan ayat dan sebagainya dapat dibahagikan dengan nombor 19. Maka lahirlah kenyataan seperti:

    - Bismillahirrahmanirrahim terdiri daripada 19 huruf.
    - Bilangan surah di dalam al-Quran ialah 19 x 6 = 114.
    - Perkataan ISM berulang 19 kali.
    - Kalimah Allah berulang sebanyak 19 x 142 = 2698 kali.
    - Kedudukan surah pertama iaitu al-Alaq (Iqra’) ialah pada 19 surah terakhir.
    - Perkataan al-Rahman di dalam al-Quran berulang 19 x 3 = 57 kali, dan sebagainya.

    Untuk membuktikan kebenarannya Dr Rashad Khalifa menghasilkan sebilangan buku menghuraikan kod-kod tersebut, antaranya, Miracle Of The Quran: Significance of the Mysterious Alphabets (Islamic Productions, St. Louis, Missouri, 1973), The Computer Speaks: God’s Message to the World (Renaissance Productions, Tucson, Arizona, 1981), Quran: The Final Scripture (Islamic Productions, Tucson, Arizona, 1981) dan Quran: Visual Presentation Of The Miracle (1982).

    Kod 19 ialah satu kod yang sesat. Yang paling menyesatkan tentangnya ialah, dalam proses melahirkan kod ini, Rashad Khalifa telah menolak dua ayat Quran dan mengatakan ia bukannya ayat Allah. Ayat-ayat itu ialah ayat 128 dan 129 dari surah at-Taubah. Penolakan sesuatu ayat Quran amat menyesatkan.

    Tambahan daripada itu, dengan menggunakan kod 19, pengikut-pengikut Rashad Khalifa menentukan tahun akan berlakunya hari Kiamat. Kassim Ahmad dalam ‘Hadis Jawapan Kepada Pengkritik’ di halaman 59, berkata, “Ini bermakna Quran sendiri mengesahkan tarikh tamatnya dunia dan kiamat. Oleh yang demikian, dunia ini akan berakhir 309 tahun Hijrah dari 1400 atau 300 tahun Masihi dari 1980 pada 1710 T.H. bersamaan dengan 2280 T.M.” Sedangkan dalam surah al-Ahzab ayat 63 Allah berfirman, “Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi”.

    Berhubung isu ini, saya ingin paparkan jawapan Dr. Muzammil H. Siddiqui (ketika itu Presiden Islamic Society of North America) di Islam Online pada tanggal 12 September 2002. Beliau berkata, “Number 19 has no Islamic significance. In the Qur’an in surat al-Muddathir (74:30), Allah (SWT) has mentioned that he has appointed 19 angels on the hellfire and then in ayat 31, Allah says, ‘We made their number to be a stumbling block for those who disbelieve.’ There is no reference on the Qur’an that number 19 is the number for which the Qur’an is established. There were some esoteric (batiniyyah) groups during the Abbasid period who speculated about this number. In our modern times, the baha’is consider it a sacred number. A person by the name of Rashad Khalifah also wrote on this subject and tried to prove that this is a myterious code number for the Qur’an, but some Muslim scholars have refuted his theory. Our good brother Bilal Phillips wrote a book called ‘Number 19: A Reality or a Hoax.’ In this book, he has exposed the absurdity of Rashad Khalifah’s thesis. Rashad Khalifah himself later claimed himself to be a messenger of God and made many more absurd claims. May Allah save us from absurdities”.

    Kesimpulannya, Dr Muzammil H. Siddiqui mengatakan, “Nombor 19 tidak signifikan adalam Islam. Nombor 19 yang terdapat dalam ayat 30 surah Muddatthir hanya menjelaskan tentang jumlah malaikat yang ditugaskan untuk menjaga neraka. Namun terdapat golongan Batiniah di era Abbasiah yang cuba membuat spekulasi berbentuk keagamaan berhubung ayat ini. Di era moden golongan Bahai menganggap nombor ini sebagai nombor suci. Sebenarnya saudara kita Dr. Bilal Phillips dalam bukunya ‘Number 19: A Reality or a Hoax.’ membuktikan kepalsuan dakwaan tentang (Kod 19) ini. Dr. Rashad Khalifa kemudiannya mengisytiharkan dirinya sebagai nabi”.

    Sebenarnya pembuktian tentang mukjizat al-Quran boleh dilakukan melalui pendekatan saintifik yang lain secara yang lebih mantap. Kod 19 melahirkan kecelaruan.

    Dr. Danial

  5. Rating: +3


    Positive


    Negative

    Assalamualaikum wbt ,

    Terima kasih dr untuk balasan email sebelum ini , saya ada pertanyaan baru , sbg seorang mahasiswa sarjana saya juga tidak lepas dari stress boleh dr berikan petua yg di ajarkan oleh rasullulah dalam menangani perkara tersebut

    Noryanti Mahbub

    Kita tidak dapat melarikan diri daripada tekanan atau stress. Allah berfirman: “Sesungguhnya Kami akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada mereka yang sabar.” (Al-Baqarah ayat 155)

    Orang yang berjaya ialah mereka yang melihat masalah melalui perspektif yang betul dengan sikap yang betul. Dengan cara demikian ujian bertukar menjadi cabaran, masalah bertukar menjadi peluang, tekanan menjadi rangsangan. Tekanan mempunyai kebaikannya. Sebagai contoh, peperiksaan menyebabkan tekanan, namun ia menyebabkan seseorang membuat persiapan yang rapi untuk menghadapinya. Tekanan yang berbahaya ialah yang tidak dapat dikawal sehingga membuat seseorang mengalami kesugulan, putus harapan, keinginan untuk membunuh diri dan seumpamanya. Tekanan yang seperti ini dikenali sebagai distress atau tekanan yang memudaratkan. Tekanan yang baik kerana melahirkan rangsangan dan tindakan yang positif dikenali sebagai eustress.

    Benarlah Dr. Hans Selye yang berkata, masalah dan ujian kebiasaannya tidak menyebabkan tekanan yang melampau ke atas seseorang. Yang menyebabkannya ialah persepsi yang salah atau pemikiran yang negatif, sehingga akhirnya menimbulkan reaksi yang melampau. Sebagai contoh, apabila dua orang dihadapkan dengan tekanan yang sama, reaksi mereka adalah berbeza. Seorang mungkin tidak boleh menerima realiti dan terus berputus asa, lantas tekanan yang dialaminya sangat tinggi. Rakannya pula menganggapnya sebagai lumrah hidup dan menerimanya sebagai cabaran dan kesempatan untuk memperbaiki diri, justeru tekanan yang dialaminya merupakan tekanan yang menguntungkan. Salah satu contoh yang amat baik untuk ditonjolkan ialah seorang lelaki kudung yang dipaparkan oleh TV Malaysia pada malam 16 Januari 1996. Beliau dilahirkan sebagai seorang bayi yang kudung kedua-dua belah tangannya namun beliau tidak menjadikan kecacatannya sebagai alasan untuk kecewa dan berputus asa. Sekarang bayi itu telah dewasa, menjadi seorang doktor perubatan dan telah berkhidmat selama 16 tahun. Namanya ialah Dr. Zhou.

    Bagaimana Menangani Stress?

    a.. Berwawasan dan Berperancangan. Orang yang berjaya ialah mereka yang mempunyai wawasan atau visi. Hidup mereka bermatlamat dan di samping itu mereka mempunyai cita-cita yang tinggi. Mereka merupakan golongan yang mampu menjawab dengan jelas soalan what atau apa yang saya mahu berhubung masa depan seperti yang disebutkan oleh Peter M. Senge dalam bukunya The Fifth Discipline. Wawasan dan matlamat perlu disusuli dengan usaha. Zaman pungguk termenung merindukan bulan sudah berlalu. Hari ini ialah zaman ikhtiar dan usaha. Tanpanya pungguk akan mati. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 202, “Mereka itulah orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah amat cepat perhitungan-Nya.Usaha yang akan mendatangkan hasil yang baik ialah usaha yang berdasarkan perancangan yang teliti. Mengikut Imam Tirmizi, nabi bersabda, “Manfaatkan yang lima sebelum datang yang lima, masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati.” Hadis ini menunjukkan mereka yang berjaya ialah mereka yang merancang awal dalam hidup mereka. Mereka merupakan golongan yang proaktif yang ingin memanfaatkan peluang hari ini sebelum tiba hari esok. Dengan itu kerja-kerja ‘last minute’ dapat dielakkan sekali gus cara hidup kelam kabut dan tergesa-gesa yang melahirkan tekanan dapat dielakkan.
    b.. Berzikir dan Berbadah Yang Khusyuk. Ibadah yang khusyuk akan mendatangkan kedamaian kepada jiwa seseorang dan kedamaian ini akan lebih mendekatkannya kepada Allah sehingga akhirnya timbullah kelazatan dan keenakan ketika beribadah. Ketika itu, ibadah menjadi penawar yang mampu meredakan sebarang tekanan yang melanda hati. Di antara ibadah yang boleh mendamaikan hati ialah zikrullah. Sehubungan dengan ini Allah berfirman: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” (Ar-Ra’d 13:28) Pada suatu ketika, seorang lelaki telah mendatangi sahabat Abdullah ibn Masud r.a. dan berkata: “Wahai Ibn Masud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut kemusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku tiada.” Abdullah ibn Masud r.a. telah menjawab: “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, pertama, ke tempat orang sedang membaca Al-Quran tidak kira sama ada kamu ikut membacanya atau kamu sekadar mendengar pembacaan orang lain. Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah dan ketiga, kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam, dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu. Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.” Lelaki itupun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk. Selesai membaca Al-Quran, didapati jiwanya telah berubah menjadi tenang, fikirannya menjadi jernih dan kegelisahan yang selama ini melanda hatinya hilang sama sekali.
    c.. Hidup Yang Seimbang Adalah Penawar. Salah satu punca tekanan yang menyerang ramai orang pada hari ini ialah ‘ketagih bekerja’ atau ‘belajar tanpa henti’. Mereka, yang dikenali sebagai workaholic, bekerja / belajar siang dan malam sehingga melupakan segala tanggungjawab yang lain. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Dr. Bryan E. Robinson dari Universiti North Carolina di Charlotte, golongan ini mengeluarkan banyak hormon adrenaline di dalam badan mereka dan hormon ini akan membebankan jantung, menyebabkan darah tinggi dan menyempitkan pembuluh darah. Perubahan-perubahan ini mendedahkan golongan ini kepada sakit jantung, strok, kesugulan dan keinginan untuk membunuh diri. Islam menentang sebarang sikap melampau di dalam hidup. Nasihat yang paling baik untuk kita hayati ialah yang pernah dinasihatkan oleh sahabat Salman Al-Farisi r.a. kepada Abu Dardak r.a. Nasihat ini kemudiannya disokong oleh Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Tuhanmu ada hak ke atasmu, dirimu ada hak ke atasmu dan keluargamu ada hak ke atasmu. Berikan setiap yang berhak ini haknya.” (Bukhari). Justeru keseimbangan dalam hidup adalah penting.
    d.. Senaman dan Rekreasi Meredakan Tekanan. Islam menggalakkan umatnya aktif beriadah dan membenci mereka yang malas dan tidak aktif. Nabi s.a.w. telah bersabda: “Semua perkara melalaikan seseorang dari zikrullah melainkan empat perkara: pergi memanah, melatih kuda (untuk berperang), bergurau senda di antara suami isteri dan belajar berenang.” (Tabrani) Senaman akan menambahkan kekuatan mental dan ketajaman pemikiran. Di samping itu ia juga merangsang kreativiti dan imaginasi seseorang. Mengikut satu kajian, senaman dapat mengurangkan kemurungan kerana ketika bersenam otak akan mengeluarkan bahan-bahan kimia asli seperti endorphin yang berfungsi mendatangkan ketenangan dan menghilangkan kesedihan serta kemurungan. Justeru, senaman dan rekreasi (dalam batas-batas syariat) adalah penawar yang mujarab bagi mengawal tekanan atau stress.
    e.. Berdoa Dengan Khusyuk Adalah Penawar. Berdoa adalah ibu ibadah. Imam An-Nawawi telah menukilkan perkataan Imam Al-Ghazali di dalam kitab Al-Azkar berhubung dengan kepentingan doa: “Doa menjadi sebab bala dijauhkan dan rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan”. Doa yang diterima oleh Allah ialah yang dilakukan dengan hati yang khusyuk seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w.: “Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan mengabulkan permintaanmu. Ingatlah, Allah tidak akan memperkenankan doa yang datang dari hati yang lalai”. (Tirmizi)

    Yang Benar,

    Dr. Danial

  6. Rating: +3


    Positive


    Negative

    Assalamualaikum,

    Saya ada sedikit kekeliruan dan ingin bertanya, batal kah wudu’ seorang isteri itu bila bersentuhan dgn bapa mertuanya. Bapa mertuanya itu adalah bapa tiri kpd suaminya.

    Terima kasih. wassalam.

    fairul.misran@intel.com

    Perincian tentang mahram (atau orang yang diharamkan nikah) dalam Islam disebutkan dalam surah an-Nisak ayat 23, “Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anak perempuan kamu; adik beradik perempuan kamu, adik-beradik perempuan bapa kamu; adik-beradik perempuan ibu kamu; anak-anak perempuan dari adik-beradik kamu; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sesusuan; ibu-ibu isterimu (mertua); anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya; (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu); dan menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim nabi bersabda, “Sesungguhnya diharamkan (untuk bernikah) saudara sesusuan sebagaimana diharamkan kerana keturunan”.

    Berpandukan ayat dan hadis ini bolehlah disimpulkan bahawa mahram itu wujud kerana tiga sebab atau keadaan:

    1) Mahram Kerana Keturunan
    a.. Ibu dan bapa kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas.
    b.. Anak-anak kandung (anak, termasuk cucu dan seterusnya ke atas) dan anak-anak tiri yang ibu atau bapanya telah kita setubuhi
    c.. Adik beradik kandung dan adik beradik seibu atau sebapa.
    d.. Adik beradik ayah dan ibu dan seterusnya ke atas.
    e.. Anak buah iaitu anak kepada adik beradik kita

    2) Mahram Kerana Perkahwinan
    a.. Ibu bapa mertua iaitu ibu bapa isteri kita.
    b.. Menantu iaitu suami atau isteri kepada anak kita.

    3) Mahram Kerana Susuan
    a.. Mahram kerana sesusuan adalah sama kategorinya dengan muhrim disebabkan keturunan.

    Berhubung dengan ayah atau ibu tiri, haram bagi seseorang dinikahi oleh ayah atau ibu tirinya, kalau sudah berjimak dengan ibu atau bapa kandungnya (Tafsir Qurthubi 5/74). Justeru, disebabkan bapa tiri adalah mahram, maka tidak batal wuduk jika seseorang wanita bersentuhan / bersalaman dengan bapa tiri bagi suaminya. Terima kasih.

    Yang Benar,

    Dr. Danial

  7. Rating: +1


    Positive


    Negative

    Assamk.Dr,

    Afwan, bagaimana kita ingin menjawab bila orang tanya mengenai marhaban selepas ramdhan.sebab bila tengok dari satu segi banyak baiknya juga. tapi ada yang tanya dari mana datangnya amalan ini. Moga Dr, dapat memberikan pandangan.saya salah seorang yang memimpin marhaban, namun saya tambah unsur tarbiyyah.

    Rahman1422@hotmail.com

    Marhaban dan berzanji tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya merupakan lagu yang ‘didendangkan’ dalam majlis tertentu bersempena kenduri perkahwinan, kelahiran anak, majlis berkhatan, sambutan maulid dan yang seumpamanya. Berzanji didendangkan sebagai pembukaan majlis sebelum diikuti dengan marhaban. Selepas marhaban, lagu berzanji pula didendangkan sebagai penutup. Seni kata lagu marhaban dan berzanji adalah dalam bahasa Arab yang dipetik daripada kitab-kitab khas bertulisan jawi. Ia dipanggil kitab berzanji atau kitab marhaban. Seni katanya menceritakan tentang riwayat hidup Nabi Muhammad dan ditulis dalam bahasa yang cukup puitis yang mempunyai persamaan bunyi pada setiap akhir baitnya.

    Amalan marhaban / berzanji sangat masyhur di kalangan orang-orang Islam Nusantara. Kitab yang sering digunakan ialah Kitab Berzanji karangan Sheikh Ja’afar Al-Berzanji. Secara dasarnya ia merupakan satu bentuk hiburan yang baik kerana tujuannya ialah untuk berselawat dan menceritakan sejarah hidup nabi yang mulia. Apatah lagi berselawat memang dituntut oleh agama berdasarkan firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 56, “Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai mereka yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya dan berilah salam dengan salam yang sempurna”.

    Namun yang menjadi masalah ialah kisah dan selawat yang terdapat dalam marhaban / berzanji tidak merujuk kepada nas malah terdapat bait-baitnya yang memuja nabi secara berlebihan. Islam mengajar kita bahawa nabi Muhammad ialah rasul akhir zaman pilihan Allah dan baginda dikurniakan wahyu oleh Allah. Namun di sudut kejadiannya baginda ialah seorang manusia yang sama seperti manusia yang lain. Hal ini Allah nyatakan dalam surah al-Kahfi ayat 110, “Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya aku ini manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu ialah Tuhan yang Esa, maka sesiapa yang mengharap menjumpai Tuhannya hendaklah dia melakukan amal yang salih dan jangan dia menyekutukan Tuhannya dengan sesuatu ketika beribadah kepada-Nya”.

    Di bawah ini diperturunkan beberapa contoh tentang penghormatan yang melampau yang diberikan kepada nabi dalam bait-bait marhaban / berzanji, antaranya, yang berkaitan dengan Nur Muhammad.atau Hakikat Muhammadaniah.

    Dalam kitab berzanji disebutkan, “Dan tatkala Allah hendak menonjol (ke alam nyata) Hakikat-Nya ialah Muhammadiah”. (Rujukan: Berzanji hal. 7, Jaafar Berzanji, Terjemahan Amir Hj. Marzuki. Jabatan Agama Selangor, Jabatan Dakwah). Baitnya ini amat mengelirukan. Ia menampakkan seolah-olahnya Nur Muhammad mempunyai unsur ketuhanan.

    Seterusnya dalam bait yang lain disebutkan, “Dan lagi aku memohon kepada-Nya semoga Allah mencucuri rahmat dan selamat kepada an-Nur yang Dia telah jadikan terdahulu daripada segala makhluk yang lainnya. Iaitu nur yang berpindah-pindah daripada satu dahi kepada suatu yang mulia keadaannya, iaitu moyang-moyang Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam yang mulia sehingga dahi Abdullah ayahandanya”. (Terjemahan Maulid Berzanji & Daiba’i, susunan Zulkifli Mat Isa, hal. 1, Jahabersa). Bait ini seolah-olahnya mengisyaratkan kepada perpindahan roh seperti yang terdapat dalam kepercayaan agama Hindu.

    Seterusnya disebutkan, “Maka sekalian para nabi telah dicipta dari Nur Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam. Sesungguhnya Allah mencipta roh Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam dari zat-Nya dan alam seluruhnya dijadikan dari Nur Muhammad”.

    Antara hadis yang melahirkan kepercayaan tentang Nur Muhammad ini ialah hadis yang bermaksud, “Kalau tidak kerana engkau (ya Muhammad!) dunia ini tidak akan diciptakan”. Menurut Ibn Qaiyim rahimahullah hadis ini ialah sebuah hadis palsu.

    Semua ini perlu diberikan perhatian agar berzanji yang kita lakukan dapat diletakkan di atas landasan syariat yang mulia. Terima kasih.

    Yang Benar,

    Dr. Danial

  8. Rating: +1


    Positive


    Negative

    Assalamualaikum,

    Dr Danial,

    Saya terbaca hadis yg mengatakan wanita itu bengkok seperti tulang rusuk. Benarkah ini? Adakah ia menunjukkan Islam merendahkan wanita? Terima kasih.

    Daripada Wani, Seremban.

    Allah tidak pernah menghina atau memuliakan makhluk-makhluk-Nya berdasarkan jantina. Sebaliknya kemuliaan seseorang adalah berdasarkan ketakwaannya kepada Allah. Berhubung dengan ini, di dalam surah Al-Hujurat ayat 13 Allah berfirman: “Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu”.

    Wanita dan lelaki adalah sama di sisi Allah sebagai hamba Allah. Jika seseorang wanita beriman dan beramal salih dia diganjari Allah dan diletakkan di tempat yang tinggi. Dalam surah Ali-Imran ayat 195 Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang-orang yang beramal di antara kamu baik lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan dari sebahagian yang lain”.

    Islam tidak mengizinkan wanita dikotak-katikkan dan dizalimi oleh golongan lelaki. Dalam surah an-Nisak ayat 19, Allah menegaskan, “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memusakai wanita secara paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk mengambil sebahagian apa yang telah kamu berikan”.

    Para suami diperintahkan Allah supaya menjaga isteri-isteri mereka dengan baik dan tidak menjadikan isteri-isteri seperti bola yang boleh ‘ditendang’ ke sana ke mari. Jika si isteri mempunyai kelemahan, si suami juga mempunyai kelemahan. Allah menyuruh si suami melihat kebaikan yang banyak yang ada pada isteri dan tidak hanya memfokuskan kepada satu dua kelemahan yang ada. Hal ini disebutkan dalam surah an-Nisak ayat 19, “Bergaullah dengan isterimu dengan cara yang makruf. Jika kamu tidak senang dengan mereka maka bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu tentang mereka tetapi Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya”.

    Berhubung dengan wanita dijadikan daripada tulang rusuk, dalam sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi bersabda, “Aku berwasiat kepada kamu agar menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan dari tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang di bahagian teratas. Jika kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan jika kamu biarkan saja dia akan terus bengkuk selama-lamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan)”.

    Adakah ayat ini bermaksud kaum wanita benar-benar dijadikan Allah daripada tulang rusuk kaum lelaki? Sebenarnya, dalam al-Quran Allah menyatakan dengan jelas bahawa manusia sebenarnya berasal daripada nutfah (iaitu air mani yang sedikit) yang bercampur dengan benih wanita, kecuali nabi Adam yang berasal daripada tanah. Berhubung dengan ini dalam surah al-Haj ayat 5 Allah berfirman, “Wahai manusia jika kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah) Kami telah menciptamu daripada tanah, kemudian daripada nutfah.”.

    Dalam surah an-Nisak ayat 1 pula Allah berfirman, “Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa), dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang ramai”.

    Berhubung dengan ayat ini, Abul A`la al-Mawdudi berkata dalam The Meaning of The Quran ( jilid 2 hal. 94), “Umumnya para pentafsir al-Quran menyebutkan Hawa dicipta daripada tulang rusuk Adam dan Bible juga menyebutkan perkara yang sama. Kitab Talmud pula menambah bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam yang ketiga belas. Tetapi al-Quran tidak menyentuh langsung perkara ini dan hadis-hadis yang dipetik untuk menyokong pandangan ini mempunyai makna yang berbeza daripada apa yang sering difahami. Oleh itu, yang terbaik ialah membiarkan perkara yang tidak dijelaskan ini sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan tidak perlu membuangkan masa bagi mencari perinciannya”.

    Oleh kerana kenyataan al-Quran berhubung kejadian manusia begitu jelas sekali, hadis tidak boleh mencanggahinya. Justeru hadis ini, yang menyatakan wanita berasal dari tulang rusuk lelaki, tidak boleh ditafsirkan dalam bentuk yang mencanggahi al-Quran. Sebenarnya, fokus hadis ini bukannya tentang asal usul kejadian wanita sebaliknya tentang kepentingan menghormati dan menjaga wanita dengan baik.

    Justeru, dalam kitab Riadus Salihin, Imam Nawawi meletakkan hadis ini dalam bab ‘Wasiat Untuk Menjaga Kaum Wanita Dengan Baik’.

    Dalam kitab Dalilul Falihin, diriwayatkan bahawa Imam Qartubi berkata, “Wanita dicipta dalam batas dan keadaan seperti tulang rusuk”. Dia bukan dicipta daripada tulang rusuk. Dalam bentuk kiasan ia bermaksud, tulang rusuk dalam keadaan bengkok adalah berbeza daripada tulang yang lain sebagaimana wanita berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan ini mempunyai kepentingannya justeru tulang rusuk tidak boleh dicaci kerana berkeadaan seperti itu kerana tanpanya manusia akan menghadapi masalah. Demikianlah juga dengan kaum wanita, tanpanya kehidupan tidak akan sempurna. Kaum wanita adalah cantik dalam keadaan semula jadinya walaupun dalam aspek-aspek tertentu mereka berbeza daripada kaum lelaki. Pihak lelaki perlu menerima wanita dengan sifat semula jadinya dan tidak boleh bersikap keras terhadap mereka. Mereka disuruh menghormati wanita dan bekerjasama dengannya untuk mencapai matlamat yang Allah tetapkan. Wanita ada peranannya dan kadangkala peranan itu berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan peranan tidak melambangkan kehinaan.

    Justeru Islam tidak menghina kaum wanita dan wanita tidak Allah jadikan daripada tulang rusuk lelaki.

    Yang Benar,

    Dr. Danial

  9. Rating: +2


    Positive


    Negative

    Assalamualaikum.

    Dr,

    Dalam suasana bekerja, bolehkah kita mengucapkan ‘happy deepavali’ kpd rakan sejawat beragama hindu dan juga kepada rakan-rakan bukan Islam yang lain pada hari perayaan mereka?

    bintu_rashid@yahoo.com

    Pelbagai fatwa telah dikeluarkan berhubung isu ini. Sebagai contoh, Ibnul-Qayyim dalam bukunya Ahkamu Ahli az-Zimmah 1/205 menyatakan, “Menyampaikan ucapan selamat terhadap syiar-syiar kekufuran yang bersifat khusus adalah haram menurut kesepakatan ulama, seperti ucapan saat perayaan atau puasa mereka”.

    Fatwa MUI (Majlis Ulama Indonesia yang dipengerusikan oleh Syeikh Hamka) pada tarikh 7 Mac 1981 juga telah mengeluarkan fatwa yang mengharamkan umat Islam Indonesia merayakan bersama perayaan Hari Krismas atau Natal kerana perayaan itu adalah ibadah dan bercanggah dengan aqidah umat Islam.

    Fatwa ini adalah berdasarkan beberapa nas, antaranya, hadis nabi yang bermaksud, “Ketika Rasul sampai di Madinah, penduduk Madinah merayakan dua hari (raya) yang mereka bermain (berseronok) pada hari-hari tersebut… Apabila Nabi melihat mereka menyambut dua hari tersebut Nabi bertanya, ‘Hari apakah kedua hari ini?’. Mereka menjawab, ‘Adalah kami di zaman Jahiliah bermain (berseronok) dalam dua hari ini’. Maka Nabi bersabda, ‘Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu semua dengan hari yang lebih baik daripada dua hari tersebut iaitulah hari raya Aidiladha dan Hari raya Aidilfitri’.” Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasaii daripada Anas Bin Malik. Imam Ibn Taimiyyah berkata, “Sesungguhnya sanad hadis ini adalah berdasarkan syarat Muslim”

    Walau bagaimanapun, di satu sudut yang lain umat Islam disuruh berbaik-baik dan bertoleransi dengan golongan bukan Islam yang tidak memerangi kita. Allah berfirman dalam surah Mumtahanah ayat 8-9 yang bermaksud, “(Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

    Dalam surah an-Nisak ayat 36 pula Allah berfirman, “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh”.

    Menurut Imam Al Qurthubi, “Berbuat baik kepada tetangga adalah perkara yang diperintahkan dan dianjurkan, baik terhadap mereka yang Muslim ataupun yang kafir. Berbuat baik itu ertinya memberikan pertolongan, bergaul dengan baik, membelanya jika ada gangguan dan ancaman”.

    Justeru, setelah mengambil kira kesemua ini, secara dasarnya kita tidak diizinkan untuk merayakan dan menghidupkan syiar agama lain seolah-olahnya ia merupakan sebahagian daripada syiar kita. Hal ini tetap dilarang oleh agama selaras dengan apa yang fatwakan oleh ulama sebelum ini. Namun untuk melafazkan ucapan selamat kepada mereka dengan niat untuk memelihara hubungan baik dengan mereka maka ia tidaklah dilarang.

    Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research) dan dilaporkan di IslamOnline.net bertarikh 23 April, 2006, “Maka tidaklah salah unutk bertukar-tukar hadiah dengan mereka yang bukan Islam. Seseorang Muslim dibenarkan untuk mengucapkan selamat kepada yang bukan Muslim pada hari perayaan mereka dan ini menjadi satu kewajipan jika yang bukan Muslim itu mengucapkan selamat pada hari perayaan yang disambut oleh orang-orang Islam. Malah tidaklah salah menghantarkan kad pada hari perayaan mereka selagi mana tidak terdapat padanya logo-logo dan lambang yang bercanggah dengan akidah Islam”.

    Yang Benar,

    Dr. Danial

  10. Rating: +0


    Positive


    Negative

    Assalamualikum Dr.Danial.

    Apakah berpahla dan dibolehkan kita membaca Al-Quran dalam hati(di luar Solat),lantaran,umur sudah tua, suaranya serak dan susah menekan suara.

    Berzikir antaranya dengan membaca al-Quran termasuk dalam ibadah yang disyariatkan. Dalam konteks mengaji al-Quran yang terbaik ialah membaca dengan lisan dan khusyuk mentadabur dengan hati. Membaca dengan lisan tidak bermaksud membaca dengan kuat dengan menekankan suara. Membaca dengan suara perlahan sekadar berbisik sudah mencukupi. Namun tidak ada salahnya jika seseorang membaca al-Quran dengan hatinya. Yang penting ialah memberi perhatian kepada ajaran al-Quran dalam kehidupan. Allah berfirman, “Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran daripadanya orang-orang mempunyai fikiran”. (Surah as-Sod ayat 29)

  11. Rating: +0


    Positive


    Negative

    Assalamualaikum dr. saya mempunyai seorang rakan ppuan yg rapat dgn saya satu ketika dulu. kami bermasam muka apabila bekerja dibawah satu bumbung yg kebetulan saya ketuanya. rasa saya dia telah tersalah tafsir soal peribadi dan rasmi. dia tidak begitu ceria apabila saya memberi kerja padanya. sbg seorang kawan beliau sgt baik hati dan sedia menolong apb diperlukan. Disatu kesempatan kematian sdrnya saya mengambil peluang melawat dan bersalaman & pohon maaf dengannya. beliau juga memohon maaf tapi saya lah yg selalu memulakan perbualan dan bertanya kabar dgnnya. dia membalas tp nyata amat dingin. saya ambil keputusan hnaya utk berdiam diri dan bercakap apa yg perlu shj kerana bosan dgn sikapnya. sebenarnya saya tidak tahu apa salah saya padanya. saya bertahan hanya takut dimurkai ALLAH kerana memutuskan silaturahim. Harap dpt nasihat dr dr apa lagi yang patut saya buat?

    Salam. Orang yang memulakan kebaikan adalah seorang yg mulia. Teruskan dengan usaha murni puan. Tidak mengapa jika dia dingin dalam banyak hal. Dia menjadi begitu mungkin disebabkan pengalaman tertentu. Jangan sikapnya pula menjadi sikap kita. Kita sepatutnya berbeza. Terima kasih.

  12. Rating: +1


    Positive


    Negative

    Assalamualaikum Dr,
    Saya telah berkahwin dengan isteri saya melalui pilihan kedua orang tua kami. Namun sebelum berkahwin, isteri saya mempunyai teman lelaki. Setelah berkahwin, hubungannya dengan bekas teman lelakinya teputus sekian lama. Tetapi beberapa bulan yang lepas, isteri saya telah berhubung kembali dengan bekas teman lelakinya yang juga telah mendirikan rumahtangga.
    Oleh kerana kami tinggal dinegeri yang berlainan dan jauh, isteri saya sering berhubung dengan bekas teman lelakinya melalui chatting dalam komputer atau sms.
    Isteri saya ada memohon izin untuk megeratkan hubungan persahabatan dan saya izinkan asalkan tahu akan batas yang diizinkan agama.
    Tetapi sebaliknya kedua mereka sering mencurahkan perasaan terhadap satu sama lain . Bila saya melarang, isteri saya sering menyatakan saya tidak perlu bimbang dan perlu berfikiran tebuka kerana mereka hanya sekadar berchatting dan tak lebih dari itu. Isteri saya meminta saya meminta agar saya mempercayainya.
    Persoalannya bolehkah perhubungan seperti ini berterusan dan dibiarkan saja. Mohon nasihat Dr.

    Sekian Terima kasih

    Salam. Sememangnya perbuatan isteri (jika sah dia melakukannya) adalah satu perbuatan yg menimbulkan fitnah. Tegurnya dengan baik. Jika masih berterusan perlu bersikap lebih tegas dengannya. Jalan terakhir ialah memberi kata dua kpdnya. Semoga dibantu Allah.

  13. Rating: +0


    Positive


    Negative

    Assalamualaikum….apakah lelaki boleh memakai gelang seperti gelang magnetik untuk tujuan kesihatan?saya keliru kerana ada percanggahan pendapat.Terima kasih di atas penjelasan DR…daripada Tajuddin Mashood

    Nabi melarang pemakaian gelang yg dinamakan ‘al-Wahinah’. Ulama menjelaskan pengharamannya kerana ia dianggap tangkal. Ustaz Muhammad Sa’idi di IslamOnline berpendapat pemakaian gelang untuk berubat adalah harus dengan syarat terdapat bukti-bukti SAINTIFIK menunjukkan ia membantu kesihatan. Tidak dinafikan sebahagian ulama mengharamkannya.

  14. Rating: +2


    Positive


    Negative

    Assalamualaikum Dr.

    Disini saya ingin bertanya mengenai solat hari raya.Mengapa rakaat pertama kita kena takbir 7X dan rekaat ke dua 5X?Apakah fadilatnya,mengapa ia berbeza dengan solat yang lain dan darimana asalnya terjadinya solat ini.

    Secara dasarnya kita melaksanakan sesuatu ibadah khusus kerana mengikut petunjuk Nabi. Jika nabi bersolat dan bertakbir 7 kali, kita bertakbir 7 kali dan begitulah seterusnya. Sebab itu nas dan dalil teramat penting dalam Islam supaya amalan kita mengikut sunnah. Ibadah yang dilakukan tanpa mengikut dalil yang autentik dianggap sebagai bidaah. Berhubung dengan ini nabi bersabda, “Sesiapa yang beramal dengan amalan bukan dariku, maka amalannya ditolak”. (Sahih Muslim)

    Justeru berbalik kepada persoalan berhubung solat hari raya, kita bertakbir 7 kali pada rakaat yang pertama dan 5 kali pada rakaat yang kedua kerana Aisyah meriwayatkan, “Rasulullah bertakbir pada (solat) Aidilfitri dan Aidiladha 7 kali dan 5 kali selain 2 takbir rukuk”. (Riwayat Abu Dawud dalam Kitab as-Solat Bab At-Takbir fil ‘Idain disahihkan oleh Syeikh Albani)

    Berkemungkinan kita bertakbir lebih daripada biasa dalam solat ini disebabkan sambutan hari raya sememangnya merupakan sambutan yang sunat diperbanyakkan takbir dalamnya sebagai lambang kesyukuran kepada Allah. Dalam hadis disebutkan, “Adalah Rasulullah keluar pada Hari Raya Aidilfitri lalu beliau bertakbir sampai datang ke tempat solat dan sampai selesai solat. Apabila telah selesai solat beliau memutus takbir.” (Diriwayatkan Ibnu Abi Syaibah dan disahihkan oleh Syeikh Albani dengan syawahidnya dalam as-Sahihah no. 171). Imam Daraqutni dan yang lain-lainnya juga meriwayatkan bahawa Ibnu Umar semasa keluar pada hari Aidulfitri dan Aiduladha akan sedaya-upaya melakukan takbir sehingga tiba ke tempat solat, kemudian ia akan meneruskannya sehingga imam tiba”.

    Dr. Danial

  15. Rating: +2


    Positive


    Negative

    apa ayat al quran yang boleh diamalkan bagi merangsang isteri supaya tidak sejuk untuk mengadakan hubungan seks

    Tidak ada ayat ajaib untuk hal ini. Saya cadangkan anda bawa isteri bertemu pakar O&G sebab mungkin ia disebabkan faktor hormon dalam badan. Kadangkala ubatan boleh membantu. Jika ada kaunselor, kaunseling juga boleh membantu. Semoga Allah mempermudahkan.

Bertanya di sini

Question:
Email: (optional, used to notify you when the question has been answered)
Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • MisterWong
  • Wists