PLURALISME DAN PENDIRIAN ISLAM
Oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin
Konsep pluralisme ialah konsep kesamaan dalam kepelbagaian agama. Konsep ini menekankan bahawa semua agama adalah sama dan menuju kepada kemuncak kebenaran yang sama. Bagi penganut-penganut aliran ini, agama-agama besar di dunia seperti Islam, Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan yang seumpamanya, mempunyai dua struktur utama, iaitu, eksoterik (aspek luaran / zahir) dan esoterik (aspek dalaman / batin). Agama-agama ini, menurut mereka, hanya berbeza pada aspek luaran atau zahirnya sahaja, sedangkan pada aspek dalamannya ia adalah sama, iaitu menuju pada tuhan yang satu.
Sebagai contoh, sekiranya umat Islam menunaikan ibadat dengan cara bersolat di masjid, penganut agama Buddha beribadat dengan membaca mantera-manteranya di kuil, dan penganut-penganut Kristian pula hadir dan bertafakur di gereja pada setiap hari Ahad, dan begitulah seterusnya. Justeru, menurut mereka, kesemua bentuk ibadat itu adalah benar dan diiktiraf kerana kesemuanya menuju kepada satu ‘kebenaran yang hakiki’, iaitu Tuhan. Bagi umat Islam Tuhannya ialah Allah, manakala bagi penganut Kristian Dia adalah Jesus, dan begitulah seterusnya.
Antara tokoh yang mempopularkan isme ini ialah Ernst Troeltsch (1865-1923), Arnold Toynbee (1889-1975), Wilfred Cantwell Smith (1916-2000) dan John Harwood Hick (1922-sekarang). Pengaruh isme ini begitu kuat sehinggakan segelintir umat Islam sudah mengimani konsep ini pada hari ini. Sebagai contoh, seorang tokoh Islam Liberal di Indonesia yang bernama Ulil Absar Abdalla, tanpa segan silu lagi menyatakan bahawa “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran. Jadi, Islam bukan yang paling benar.” Hal ini dilaporkan dalam majalah Gatra, 21 Disember 2002.
Islam menghormati semua agama tetapi ia tidak bersetuju dengan aliran yang mengatakan bahawa semua agama adalah sama. Sebagai contoh, pada 29hb Julai 2005, Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwanya yang memutuskan bahawa aliran pluralisme adalah bertentangan dengan Islam. Fatwanya berbunyi, “Pluralisme agama adalah suatu faham yang mengajarkan bahawa semua agama adalah sama dan kerananya kebenaran setiap agama adalah relatif. Oleh sebab itu, setiap pemeluk agama tidak boleh (mendakwa) bahawa hanya agamanya saja yang benar sedangkan agama yang lain salah…… Pluralisme…. sebagaimana dimaksudkan pada bahagian pertama adalah (kefahaman) yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.”
Apakah Alasannya Islam Menolak Pluralisme?
Secara logiknya, jika kesemua agama adalah sama mengapakah nabi Muhammad perlu diutus untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya? Mengapakah nabi perlu menentang penyembahan berhala yang dilakukan oleh golongan Arab ketika itu sehingga mendatangkan kesusahan ke atas diri sendiri? Mengapakah pendeta Yahudi yang bernama Abdullah bin Salam memeluk Islam di zaman nabi dan hal ini diterima nabi dengan penuh kesyukuran? Mengapakah nabi mengutus surat kepada pemimpin pelbagai negara untuk mengajak mereka kepada Islam?
Hal ini disebabkan ajaran Islam yang dibawa nabi Muhammad tidak sama dengan ajaran yang terdapat dalam agama yang lain. Konsep ketuhanan Islam tidak sama dengan konsep triniti Kristian, tidak sama dengan konsep trimurti Hindu dan yang seumpamanya.
Jika konsep ketuhanan Islam sama dengan konsep triniti Kristian, mengapakah Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 72-73 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, telah kafirlah orang-orang yang berkata: ‘Bahawasanya Allah ialah al-Masih anak Maryam’. Padahal al-Masih sendiri berkata: ‘Wahai Bani Israel, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan baginya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang zalim’. Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: ‘Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan’. Padahal tiada Tuhan melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari kalangan mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”?
Demikian juga, jika benar umat Islam disuruh bertolak ansur dengan sembahan-sembahan yang dianggap sebagai jelmaan daripada Tuhan yang esa, mengapakah dalam surah an-Najm ayat 23 Allah berfirman, “Benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu menamakannya. Allah sekali-kali tidak menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan mengikut apa yang diingini oleh hawa nafsunya. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.”?
Hal yang sama ditegaskan dalam surah az-Zumar ayat 65-66 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada nabi-nabi sebelummu bahawa: ‘Demi sesungguhnya, jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalanmu, dan engkau akan menjadi dari orang-orang yang rugi.’ (Janganlah menyembah yang lain daripada Allah) bahkan hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur”.
Golongan pluralis sering kali mengatakan bahawa pelbagai sembahan yang disembah oleh manusia mengikut agama masing-masing tidak sepatutnya menimbulkan masalah kerana tujuannya tetap sama, iaitu, untuk mendekatkan diri kepada Tuhan Yang Maha Esa. Islam tidak bersetuju dengan mereka malah dalam surah az-Zumar ayat 3-4 Allah menggelar mereka sebagai golongan musyrik yang sesat dan bukannya sebagai golongan Muslim atau Mukmin yang dimuliakan. Allah berfirman, “Dan orang-orang musyrik yang mengambil pelindung selain daripada Allah berkata: ‘Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya’. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar. Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Dia memilih mana-mana yang dikehendakinya di antara ciptaan-ciptaannya. Maha Sucilah Dia (dari menghendaki yang demikian) itu. Dia lah Allah, Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan.”
Sebagai kesimpulannya, agama Islam menyuruh umatnya menghormati agama-agama lain. Malah umat Islam dilarang mencaci tuhan-tuhan yang disembah oleh orang lain. Namun, ia tidak bermaksud bahawa umat Islam meredai dan bersetuju dengan ajaran yang terdapat dalam agama-agama itu. Justeru, dalam surah al-Kafiruun ayat 1-6 Allah menegaskan, “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Maka untukmu agamamu, dan untukku agamaku’.” Inilah pendirian umat Islam.
Adakah Ini Bermakna Islam Tidak Boleh Bertoleransi?
Tidak bersetuju dengan sesuatu tidak bermaksud tidak boleh bertoleransi dengan sesuatu. Sebenarnya seorang Muslim tidak menjadi Muslim yang sebenarnya jika dia tidak bertoleransi dengan penganut agama lain. Hal ini disebabkan bertoleransi dan bersikap adil dengan mereka yang bukan Islam diwajibkan oleh agama Islam. Hal ini ditegaskan Allah dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana bersikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.”
Dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 pula Allah menyuruh umat Islam agar hidup secara baik dengan golongan bukan Islam yang tidak memerangi mereka. Allah berfirman, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Sejarah membuktikan hakikat ini. Sebagai contoh, profesor T. W. Arnold dalam bukunya ’The Preaching of Islam (Low Price Publications, New Edition, India, 2002) melaporkan, “Apabila tentera-tentera Islam tiba di lembah Jordan dan panglima Abu Ubaidah mengarahkan agar khemah-khemah dipasang di Fhil, penduduk-penduduk Kristian di negeri itu telah menulis surat kepada golongan Arab Muslim ini dengan berkata, ‘Wahai orang-orang Islam, kami lebih suka jika kamu yang memerintah kami daripada pihak Rom walaupun mereka seagama dengan kami. Mereka telah merompak harta kami dan memusnahkan tempat tinggal kami’.” Hal ini disebabkan golongan Islam memang dikenali ketika itu sebagai satu golongan yang adil dan saksama termasuk terhadap golongan yang bukan Islam.
Tokoh-tokoh Islam amat mementingkan toleransi dengan golongan bukan Islam. Sejarah meriwayatkan bahawa beberapa perjanjian pernah dibuat oleh khalifah Omar al-Khattab dengan golongan bukan Islam berhubung hak-hak mereka. Antaranya, seperti yang disebutkan dalam kitab Tarikh at-Tabari (Dar al-Maarif, jilid 3) iaitu, “Keselamatan jiwa dijamin, demikian juga dengan harta benda, gereja-gereja dan tempat ibadah mereka. Gereja-gereja mereka tidak akan diduduki, tidak akan diruntuhkan dan dikurangkan. Harta benda gereja tidak akan diambil dan tanda-tanda salib dibiarkan. Mereka tidak akan ditindas kerana perbezaan agama, dan tidak ada sesiapapun dari kalangan mereka yang akan disakiti…”
Sejarah juga menceritakan berhubung perjanjian yang pernah dibuat oleh panglima Khalid al-Walid dengan golongan bukan Islam, iaitu, “Mereka berhak membunyikan loceng-loceng gereja pada bila-bila masa yang mereka suka kecuali pada waktu sembahyang (orang-orang Islam). Mereka juga boleh mengeluarkan tanda salib mereka pada hari perayaan mereka.” Hal ini dilaporkan dalam kitab Al-Kharaj karangan Imam Abu Yusuf.
Tambahan daripada itu, dalam kitab al-Islam wa Ahlul Zimmah karangan Dr. Ali Husni Al-Kharbutli, dilaporkan bahawa pembinaan rumah-rumah ibadah golongan bukan Islam meningkat pada zaman pemerintahan Islam. Maqrizi berkata, “Kebanyakan gereja di Mesir dibina pada waktu pemerintahan Islam tanpa ada sebarang perbezaan pendapat.”
Sebagai contoh, gereja Mar Marcus yang terkenal di Iskandariah, Mesir, dibina antara tahun 39-56 hijrah. Gereja yang pertama di bandar Fustat pula dibina antara tahun 48-68 hijrah. Semua pembinaan ini berlaku di zaman pemerintahan Islam.
Untuk lebih memahami konsep toleransi umat Islam, mari kita amati apa yang dikatakan oleh Robert Briffault dalam bukunya The Making of Humanity (Islamic Book Foundation, Lahore, 1980). Dalam bab Dar al-Hikmet, beliau berkata, “Di bawah konsep toleransi agama (Islam) golongan Kristian hidup penuh kebebasan di bawah pemerintahan khalifah Islam di Sepanyol.. Pelajar-pelajar Kristian dari pelbagai pelosok Eropah datang ke negara Arab ini untuk belajar. Alvaro, seorang paderi kanan di Cordova, menulis pada abad ke-9 Masihi, ‘Kesemua pelajar Kristian yang berbakat ini mengetahui bahasa dan kesusasteraan Arab. Mereka membaca dengan penuh minat buku-buku karangan orang Arab dan berasa amat kagum dengan kesusasteraannya’.”
Golongan Yahudi juga mendapat manfaat daripada sikap toleransi ini. Berhubung dengan ini Robert Briffault dalam buku yang sama berkata, “Sikap toleransi orang-orang Islam di bawah pemerintahan khalifah juga dirasai oleh orang-orang Yahudi. Mereka kemudiannya memperkembangkan budaya hidup orang-orang Islam ke kawasan-kawasan ceruk yang tidak mengenali erti tamadun… Mereka membina banyak sekolah, antaranya sekolah Kimhis dan Ben Esra di Narbonne, dan di situ mereka mengajar ilmu sains Arab di samping menterjemahkan pelbagai buku karangan orang-orang Arab…”
Tidakkah ini menunjukkan bahawa agama Islam amat bertoleransi dengan golongan bukan Islam? Inilah sebenarnya yang diajar oleh Allah dan Rasulnya. Justeru kita boleh hidup secara aman penuh toleransi dalam perbezaan dan kepelbagaian.
Hasil Nukilan :Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com
Artikel Lain Dalam Kategori Islam & Cemerlang
- Mereka Memilih Islam - May 15th, 2008
- Kegemilangan Dan Keruntuhan Andalus - May 15th, 2008
- Berhati-hati Memilih Pemimpin - March 6th, 2008









September 10th, 2007 at 9:32 am
Assalamualaikum Dr.Daniel,
Saya tertarik dengan isu yang Dr. bangkitkan dalam blog ini, namun saya juga tetap ingin bertanya kepada Dr beberapa perkara :-
(1) Apakah kita sebagai muslim cukup hanya sekadar yang kita ada pada hari ini.
(2) Apakah perkembangan Islam atau dakwah Islam sudah terbatas, berikutan keterangan Allah swt dalam surah Al-Kafirun atau kita sebagai umat seterusnya mesti menyampaikan kepada mereka.
(3) Bagaimanakah kita hendak meyakinkan kepada umat bukan Islam bahawa Islam adalah agama wahyu dari Allah swt, dan Al-Quran benar-benar datang dari Allah swt. Bagaimana kita hendak mengubah pendirian umat non-muslim bahawa Al-Quran bukanlah Kitab yang di “Edit” dari mana-mana Kitab yang ada di muka bumi ini.
(4) Rasulullah menegaskan sekalipun Matahari diletakkan di tangan Kanannya atau bulan di tangan Kirinya, namun Nabi tidak akan berhenti dari dakwah menyebar Islam, dan nabi juga berpesan supaya sampaikan walaupun satu apa-apa yang umatnya dengar untuk umat manusia.
(5) Adakah golongan yang berdakwah Islam hanya terletak pada bahu golongan Guru-Guru agama yang diiktiraf,atau cendekiawan Muslim sahaja atau sebagai makmum seperti saya juga boleh memperkembangkan, berkongsi, kepada non-muslim.
Setakat ini sahaja persoalan yang ingin saya fahami dari Dr.Daniel, mohon Dr. sudi menjelaskan situasi ini dan memberi teguran pada saya.
Dr. satu soalan lagi, hari pertama dalam satu minggu, hari apa?
Wassalam.
September 15th, 2007 at 6:49 pm
Nak komen sikit.
Yang mana benar – buku sains darjah 1 atau buku sains tingkatan 6? Dua2 benar, cuma disesuaikan mengikut umur dan kebolehan mental.
Macammana nak tau seseorang itu budak darjah 1 or tingkatan 6? Budak form 6 boleh lihat dengan jelas kebenaran dalam buku darjah 1. Budak darjah 1 pula tak mungkin boleh memahamani buku tingkatan 6.
Sekian.
September 18th, 2007 at 7:41 am
Assalamualaikum wbt,
@aaa
===> Yang mana benar – buku sains darjah 1 atau buku sains tingkatan 6? Dua2 benar, cuma disesuaikan mengikut umur dan kebolehan mental.
Macammana nak tau seseorang itu budak darjah 1 or tingkatan 6? Budak form 6 boleh lihat dengan jelas kebenaran dalam buku darjah 1. Budak darjah 1 pula tak mungkin boleh memahamani buku tingkatan 6.
Putera ===> Banyak juga manusia yang di bawah umur, atau 7 tahun bijak pandai. Perhatikan Ibnu Sina, Al-razi, Imam Syafi’e dan banyak lagi.
Pada saya potensi seseorang bukan kerana umur tapi didikan, kebanyakan mukjizat Allah swt tidak seperti jangkaan manusia.
Seperti kejadian manusia, maksudnya pada saya, Allah swt menjadikan sebab-sebab untuk difikirkan.
Kadang-kadang sesuatu perkara berlaku dengan secara lazim, kadang-kadang Allah swt menjadikan sesuatu tidak seperti yang lazim kita belajar disekolah, atau apa yang kita sendiri faham seperti biasa.
Sebagai contoh Nabi Muhammad saw adalah seorang buta huruf, tidak pandai menulis sekalipun namanya sendiri dan membaca menjadi rahmat seluruh Alam. Nabi Musa a.s pula seorang yang “gagap” dalam bertutur kata (betulkan jika saya salah)juga menjadi pilihan Allah swt.
Mesti menjadi persoalan, mengapa Allah swt tidak memilih orang yang bijak pandai, tapi bukan bermaksud tiada sama sekali.
Betulkan jika saya salah.
wassalam
Perbezaan maksud anda, adalah suatu yang lazim, keadaan normal peringkat umur manusia.
September 18th, 2007 at 11:42 am
Assalamualaikum…Saya ingin memberi respon kepada persoalan saudara Putera bagi perkara yang ke 3. Persoalan ini menyentuh bagaimana cara untuk menyakinkan umat islam dan juga umat non muslim terhadap wahyu dan juga al-Quran. Insya-Allah saya akan me’respon’ sekadar termampu mengikut ilmu kurniaan Allah yang ditimba serta perbincangan ilmiah dengan kawan-kawan.
Salah satu caranya ialah dengan melalui kaedah “rekod sahih” yang tercatat dalam al-Quran yang betul2 berlaku pada zaman rasulullah…Bagaimana hendak dibuktikan? Saya mengambil contoh kepada peristiwa bulan terbelah yang merupakan mukjizat nyata Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini begitu masyhur dalam sirah nabi. Ramai dari kalangan umat manusia di masa itu dari kalangan mukmin dan musyrik menyaksikan peristiwa tersebut. Para sahabat nabi, apabila menyaksikan peristiwa tersebut, iman mereka bertambah kuat, manakala kaum musyrik diam membisu seribu bahasa. Apa yang mampu dilakukan oleh mereka hanyalah dengan menuduh Muhammad tukang sihir yang agung.. Lantas Allah menurunkan wahyu sebagai merekod kejadian bulan terbelah ini dan juga tanggapan kaum musyrikin terhadap peristiwa tersebut. Firman Allah Taala dalam surah al-Qmar yang bermaksud:
“telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku. Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).”
Kaum mukminin dari kalangan sahabat, apabila ayat ini diturunkan, iman mereka semakin bertambah. Ini kerana mereka sendiri menyaksikan peristiwa tersebut serta menerima khabar dari Allah tentang peristiwa tersebut yang di rakam dalam wahyu al-Quran. Manakala kaum musyrikin membisu tanpa sebarang bantahan. Oleh itu, diam bisu si kaum musyrikin merupakan pengiktirafan mereka terhadap peristiwa dan juga kalam Allah dalam al-Quran.
Apa akan terjadi sekiranya peristiwa bulan terbelah tidak berlaku? Apa pula akan terjadi sekiranya al-Quran merekodkan perkara yang tidak berlaku pada waktu itu? Sudah tentu kaum musyrikin boleh mengejek-ngejek dakwah nabi Muhammad dan kemungkinan ramai dari kalangan sahabat akan meninggalkan Rasulullah. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Peristiwa tersebut yang tercatat dalam al-Quran semenjak 1000 tahun lebih masih terdapat pada masa kini di dalam al-Quran walau di mana ia berada. Bukalah al-Quran yang ada di turki, di india, di moskow, di malaysia, di indonesia, di jepun dan di mana2 tempat di dunia ini, pasti akan berjumpa dengan rekod sahih yang terakam dalam al-Quran pada awal surah al-Qamar.
Keterangan di atas adalah menurut kaedah “rekod sahih” yang dicatat dalam al-Quran. Bagaimana pula dengan zaman ini yang mana dunia amat mementingkan sains dan teknologi?
Dr Zaghlul Najjar yang merupakan saintis Islam Mesir membongkar peristiwa bulan terbelah yang berlaku pada zaman Rasulullah, terbukti pada zaman sekarang. Peristiwa bulan terbelah ini dibuktikan dengan wujudnya fenomena Hyginus Rille. Ia adalah satu lembah seperti rekahan atau parit yang panjangnya hingga beberapa ratus kilometer dan lebarnya 1-2 kilometer yang biasanya terdapat di permukaan bulan.
Untuk perincian bolehlah saudara melayari http://en.wikipedia.org/wiki/Rille untuk pemahaman yang mendalam.
Saya rasa setakat di sini dahulu. Bagi persoalan lain saya harap ia mendapat respon dari al-Fadhil Dr Daniel.
Allahu ‘Alam.
September 21st, 2007 at 9:40 am
Assalamualaikum…saya ingin bertanya pada Dr,dalam konsep kesihatan dan gaya hidup apakah hubungannya menurut persepsi islam?wasalam…
September 24th, 2007 at 4:17 pm
Assalamualaikum wbt
@Mukjizat Saintifik,
Terima kasih atas maklumat yang saudara ketengahkan, maklumat yang saudara kongsikan turut saya gunakan dalam sesi diskusi dengan yang bukan Islam.
Saya selalu berkongsi maklumat tentang saintifik Al-Quran kepada Kristian Khatolik Indonesia melalui Blog mereka yang begitu pesat berkembang ketika ini :-
http://agamaku.wordpress.com/2006/05/22tri-tunggal-mahakudus
Daripada sinilah saya mendekati isu-isu yang sering dibangkitkan oleh Kristian tentang Islam, dan setakat ini saya begitu gembira dengan buku-buku seperti Syeikh Ahmed Deedat (The Choice), Harun Yahya (Semua Buku), Dr.Danial, Tahawi Al-Mahlawi (Hari-Hari Allah), Dr.Danial (Bukti Kerasulan Muhammad, Kombat Kit Remaja, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden) dan sumber utama Al-Quran Al-Karim (Kitab Terjemahan Raja Fahd).
Saya syukur sebab saya dapat bertanya dengan Dr.Danial, dan saya gembira bila mereka membuka mata untuk menerima hakikat kebenaran Teknologi Al-Quran.
Namun mereka suka mengalihkan topik perbualan supaya akhirnya orang harus menerima Yesus adalah Tuhan???! Pelik bunyinya, segala soalan yang saya kemukakan di atas adalah merupakan isi penting dalam misi dakwah sebagai seorang Islam.
Saya juga mengakui keterbatasan saya sebagai manusia, dan menghormati guru-guru dan cendekiawan Islam yang sanggup berusaha untuk Kesatuan Umat Islam dan bukan Populariti dan segala maklumat dari para guru inilah saya ketengahkan kepada umat Kristian Khatolik.
Kepada saudara-saudara Muslim yang berkemampuan menjelaskan isu “Mendoakan Orang Sakit Dengan Khidmat Semua Ustaz, Paderi, Sami Buddha, Sami Hindu. Adakah patut beraku kepada agama kita, mengapa negara kita yang begini aman dan damai boleh tercetus golongan Islam sebegini. Apakah pandangan Ulama terhadap kes sebegini?
Niat di hati hanya kerana Allah swt, dan bukan ingin mengecam mana-mana pihak.
wassalam
September 24th, 2007 at 6:24 pm
Assalamualaikum,
@Tuan Putera.
Terima kasih di atas maklumat yang diberi tentang perbandingan agama dan juga maklumat tentang keraguan-keraguan yang sering ditimbulkan oleh non muslim terhadap Islam. Saya tidak mempunyai pengetahuan yang cukup berkenaan dengan perbandingan agama.
Tetapi seandainya Tuan Putera berbesar hati menyenaraikan apa jua keraguan yang ditimbulkan oleh non Muslim lebih-lebih lagi dari pihak kristian, maka ia amat kami alu-alukan.
September 27th, 2007 at 1:03 pm
@Mukjizat Saintifik
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terlebih dahulu saya ingin menyatakan supaya Saudara jangan memanggil saya dengan kata gantinama “Tuan”. Saya bukan orang besar, saya orang awam yang biasa saja.
Saudara saya menginginkan penjelasan Saudara tentang Firman Allah swt yang bermula seperti berikut, ini di antara yang dipersoal oleh umat Kristian:
- Demi ALLAH
- Demi Al Qur’an yang penuh hikmah
- Demi MALAIKAT-MALAIKAT
- Demi LANGIT
- Demi GUGUSAN BINTANG2
- Demi BINTANG-BINTANG
- Demi MATAHARI
- Demi ANGIN
- Demi AWAN
- Demi MALAM
- Demi SIANG
- Demi SUBUH
- Demi FAJAR
- Demi KIAMAT
- Demi BUMI
- Demi KOTA MEKKAH
- Demi MASA
- Demi KALAM
- Demi JIWA MANUSIA (91 -ASY SYAMS-7)
- Demi BUAH TIN
- Demi BUAH ZAITUN
- Demi KUDA PERANG
Sejujurnya saya tak berdebat dalam Blog Wordpress.com tu lagi, cuma saya ingin memahami secara peribadi, persoalan tentang Allah swt Bersumpah di dalam Al-Quran, seperti yang di atas.
Wassalam
September 27th, 2007 at 1:23 pm
Salam,
@Mukjizat Saintifik
Bagus-bagus isi Blogmu, boleh saya tau tentang saudara? Saudara ini sama macam Dr.Danial?
September 30th, 2007 at 8:47 am
Salam,
@Putera
Blog kami adalah hasil usaha bersama dari tim kami, Teguh Iman Resources. Kami pelajar dari republik Yemen. Ada dikalangan kami berguru dengan beberapa ulama terkenal di sana dan ada juga yang menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid-masjid sekitar ibu kota Sana’a.
Mengenai persoalan encik Putera ajukan berkenaan dengan sumpahan Allah dalam al-Quran. Menurut ahli tafsir, apa Allah bersumpah dengan sesuatu sama ada dirinya ataupun dengan benda lain..ia merupakan sesuatu perkara yang perlu dipandang serius dan dititik beratkan. Dalam ilmu tatatbahasa arab, kaedah sumpah mempunyai tajuk yang khusus. Orang arab suka menggunakan kaedah sumpah dalam ayat dan percakapan mereka kerana beberapa tujuan dan sebab.
Oleh kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa arab, maka penggunaan Kaedah Sumpah (Qasam) ini ini digunakan dengan meluas dengan gaya bahasa yang tinggi yang tidak mampu ditiru oleh sasterawan sekali pun. Inilah kemukjiatan al-Quran yang diakui oleh sasterawan terbilang di zaman jahiliyyah arab.
Berkenaan dengan sumpahan-sumpahan yang encik Putera nyatakan di atas, semuanya mempunyai maksud dan pengertian yang perlu diperdalami dengan sedalam-dalamnya. Mengapa Allah bersumpah dengan angin? Mengapa dengan bintang? mengapa dengan masa? dan lain-lain lagi.
Semua pentafsiran boleh dibuat berpandukan ahli-ahli tafsir muktabar mengikut kesesuaian zaman. Sekiranya pentafsiran angin mengikut kaedah tradisional, tetapi sekarang ia boleh ditafsirkan mengikut saintifik di bawah satu sekolah pentafsiran baru iaitu Tafsir ‘Ilmi. Dan inilah yang menjadi hujjah kepada umat Islam dalam mendepani umat bukan Islam.
Wallahua’lam…
October 2nd, 2007 at 10:32 am
Assalamualaikum.
Terima kasih atas segala komen.
Berdakwah adalah tugas mulia yang wajib sama-sama kita pikul. Cumanya mengikut kemampuan masing-masing berdasarkan ilmu, kemahiran, kesempatan dan persekitaran.
Bagus betul tim dari Yemen.. Teruskan usaha utk memertabatkan Islam. Demikian juga kpd putera.
Dr. Danial
October 10th, 2007 at 11:51 am
Assalamualaikum,
@Dr.Danial
Terima Kasih Dr. kerana memberi nasihat dan semangat demi Islam
@Mukjizat Saintifik
Saudara, saya ingin bertanya tentang beberapa perkara di dalam Al-Quran.
Putera===>Boleh saudara berkongsi maklumat dengan saya tentang Lauhul Mahfuzh yang disebut dalam Al-Quran?
Putera===> Didalam Al-Quran
Surah Al-Mukminun : Ayat 1-7
(1)Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
(2)Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
(3)Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
(4)Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
(5)Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
(6)Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
(7)Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
Saya boleh memahami dengan baik ayat ini bahawa menghampiri zina pun dilarang, inikan pula berzina amatlah hina perbuatan itu disisi Allah swt. Begitu juga bagi mereka yang mencari dibalik itu seperti homoseksual, biseksual atau apa saja adalah terlarang
Cuma saya ingin saudara menjelaskan tentang “Hamba Sahaya”. Saya sendiri masih tertanya-tanya.
wassalam.
October 24th, 2007 at 8:53 am
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Kali ni saya nak berkongsi tentang isu “CINTA” yang menjadi perbualan hangat diseluruh dunia. Baik di majalah-majalah, buku-buku, perbincangan di TV bersama-sama artis atau remaja-remaja masa kini, semuanya mentafsir “CINTA” sesuai dengan kehendak hati masing-masing.
Namun apa yang mereka sampaikan tidak salah dan sesuai juga seperti “CINTA” itu adalah antara dua hati, pengorbanan, penghormatan, kasih sayang dan bermacam-macam yang di ketengahkan oleh setiap insan. Saya lebih fokus kepada yang Islam, dimana kebanyakan saudara-saudara se-Islam terlalu mentafsir mengikut kehendak perasaan sendiri.
Pada saya “CINTA” tafsiran “MANUSIA” umpama “LILIN”, ia menerangi, indah tetapi membakar diri sendiri dan malap sama sekali. Ini terbukti pada hari ini, kes anak luar nikah, buang bayi, dan bermacam-macam kes lagi, semuanya bermula dari perkataan “CINTA”
“CINTA” yang sebenarnya adalah “Al-Quran”. Inilah yang dikatakan “CINTA” wahyu Allah swt kerana Al-Quran mengukuhkan kita dengan Rukun Asas dalam Islam iaitu Rukun Islam dan Rukun Iman yang merangkumi seluruh aspek. Dimana Al-Quran mengajar kita mencintai segala-galanya dari diri kita sendiri sampai ke komuniti yang lebih luas. Malah CINTA wahyu Allah swt adalah mukjizat keadilan seluruh alam, dimana hak sebagai seorang wanita, lelaki, fakir miskin, yatim piatu, bayi, orang tua, binatang, haiwan semuanya terjaga, hak warisan harta, hubungan suami isteri, hak-hak dalam perkahwinan serta tanggungjawab serta adab-adab yang ditentukan Allah swt, cinta kepada alam sekeliling, menghormati agama-agama lain didunia dengan batas-batas yang ditetapkan Allah swt di dalam Al-Quran dan semuanya tidak terlepas dan kita sebagai manusia perlu memiliki “CINTA” ini.
“CINTA” wahyu Allah swt mendamaikan seluruh alam, jika manusia mahu mengikutinya dan memahaminya. “CINTA” wahyu Allah swt tidak menyusahkan manusia malahan menyusun/menstruktur masyarakat dengan lebih efektif.
Namun pelaksanaan bukan semudah kata-kata yang diucapkan, tetapi inilah yang saya ingin kongsikan kepada semua dari sudut pandangan saya, dan setelah saya berkongsi dengan banyak kawan, baik yang berpendidikan, masih ramai juga yang menentang CINTA wahyu Allah swt, sedangkan hidupnya manusia adalah untuk berbakti kepada Allah swt.
“CINTA” itu Al-Quran, disangkal oleh sesetangah saudara kita kerana pada mereka Al-Quran hanya sesuai untuk orang Islam sahaja, tetapi bila difikirkan dengan setulus jiwa, baik orang Cina, India,German, Italy, Melayu, Amerika, Jepun dan seluruh manusia adalah hamba ciptaan Allah swt. Kemudian manusia yang berbilang bangsa akan menjadi satu dibawah “CINTA” wahyu Allah swt (Al-Quran).
Wassalam
October 24th, 2007 at 11:20 am
Cinta kepada Quran memang penting tetapi ia hanya wujud kepada umat Islam yang kasihkan agamanya (tak semua orang Islam kasihkan Quran). Justeru dalam surah al-Baqarah ayat 2 Allah mengatakan, “(Inilah kitab) yang tidak ada keraguan tentangnya petunjuk bagi mereka yg BERTAKWA”.
Secara umumnya cinta yang perlu ada pada manusia sejagat ialah kecintaan kepada ilmu dan mencari kebenaran. Insya Allah jika kedua-dua ini menjadi kecintaan manusia akhirnya mereka akan bertemu kpd kebenaran. Kecintaan terhadap Quran datang kemudian….
Cinta orang biasa ialah cinta nafsu yg menyebabkan seks bebas dll. Ini cinta kehaiwanan..
Dr Danial
October 25th, 2007 at 5:13 am
[...] Pluralisme dan Pendirian Islam – Dr. Danial Zainal Abidin [...]
November 1st, 2007 at 9:09 am
salam. Tahniah Faisal Tehrani atas tulisan bertajuk Tuhan Manusia. Saya belum membacanya namun saya meyakini ia akan membantu manusia mengenali ‘Tuhan’ secara yang betul. Manusia memerlukan Tuhan.
Dr Danial
November 7th, 2007 at 1:23 pm
[...] Pluralisme & Pendirian Islam – Dr. Danial Zainal Abidin [...]
November 23rd, 2007 at 11:02 pm
Salam buat saudara, Islambenar,Sugiarto,Frozenade,Biyunda dan saudara-saudara yang mengikuti sesi bual-bual/bincang-bincang tentang Kitab.
Saudara saya masih boleh menjelaskan beberapa perkara dari sesi perbualan kita ini. Demi Allah swt bahawa sesungguhnya apa yang saya sampaikan bukan untuk mencemuh mana-mana agama.
Saya hanya berkongsi maklumat sahaja. Apa yang saudara sekalian imani, maka jalani segala kebajikan yang telah ditetapkan. Seperti yang saya katakan “Semuanya Pilihan”
Pada saya, adalah suatu yang mustahil hanya beberapa perkara yang saya bangkitkan menyebabkan kita saling hina-menghina, setakat ini juga saya masih tidak menghina Yesus Tuhan Saudara sekalian.
Tentang Roh Kudus yang dijanjikan menurut al-Kitab saudara didalam Kitab John, juga masih boleh di perjelaskan.
Saya ambil contoh ringkas buat masa ini. Sebelum kedatangan Yesus, Roh Kudus sudah pun ada seperti pada diri Elisabeth yaitu Isteri Nabi Zakaria a.s. Ini menunjukkan bahawa kata-kata Yesus di dalam Kitab John “..SEORANG PENOLONG YANG LAIN” sudah menjadi tidak bermakna! Setuju? Apakah yang dimaksudkan perkataan “SEORANG”? Adakah kata ganti nama untuk Roh atau benda-benda yang ghaib boleh menggunakan kata gantinama “SEORANG”? Bolehkah kita katakan “Seorang Ikan! Seorang Harimau! Seorang Pokok! dan maca-macam lagi. Sekadar contoh sahaja untuk kita renungkan.
Bila saya mengamati beberapa perkara dari Kitab John dan yang lain-lain, bahawa PARA NABI adalah KUDUS. KUDUS disini membawa erti PARA NABI adalah SUCI, Bersih, jauh dari sifat-sifat SYAITAN dan IBLIS atau pengaruh yang JAHAT.
Menurut Bible juga “..ujilah roh-roh kalau benar-benar datang dari Tuhan” kerana kebanyakan nabi-nabi palsu berkeliaran diluar sana. (Saya tak hafal, sila buat rujukan penuh pada Bible Saudara sekalian)
ROH disini membawa maksud NABI! ini perlu kita renungkan dan ini adalah fakta yang mudah untuk kita fahami. Seperti keteranan dari Bible “ROH yang BENAR adalah NABI yang BENAR dan ROH yang SALAH adalah NABI yang SALAH.
ROH ALLAH = Nabi Allah
ROH KEBENARAN = Nabi Kebenaran (Nabi Muhammad saw digelar “Al-Amin” yang bermaksud BENAR, TULUS, IKHLAS, JUJUR.
ROH KUDUS = Nabi Suci
NABI SUCI = Nabi Muhammad saw, bila dikatakan Nabi Suci umat Islam akan mengetahui bahawa is mengacu kepada diri Nabi Muhammad saw.
Saudara ada banyak perkara juga saya ingin kongsi dengan saudara sekalian, memandangkan masa ini tidak sesuai kerana sekarang saya berhadapan dengan Bapa saya yang sedang sakit di Hospital yang tiada jaminan untuk sembuh.
Apapun saya gembira dapat meluah beberapa perkara yang saya imani dan tekun (Al-Quran) dengannya, dan saya juga dapat beberapa perkara dari saudara-saudara sekalian tentang cara anda mengimani dan bertaqwa dengannya (Al-Kitab)
Sekian Buat Masa Ini Untuk Renungan Kita Bersama-Sama.
BEBERAPA PERKARA UNTUK KITA RENUNGKAN DARI RANGKAIAN AL-KITAB
(1) Apakah Kau Messiah?
(2) Apakah Kau Elia?
(3) Apakah Kau Nabi Itu?
Salam.
November 23rd, 2007 at 11:37 pm
Salam buat saudara,
Islambenar,Sugiarto,Frozenade,Biyunda dan saudara-saudara yang mengikuti sesi bual-bual/bincang-bincang tentang Kitab.
KESIMPULAN TOPIK PERBUALAN KITA SETAKAT INI YANG MENJANJIKAN MUDAH UNTUK DIFAHAMI
(Yohanes 14 : 15-17)
Yesus menjanjikan Penghibur
Jikalau kamu mengasihi Aku, kamu akan menuruti segala perintah-Ku. Aku akan minta kepada Bapa, dan Ia akan memberikan kepadamu seorang Penolong yang lain, supaya Ia menyertai kamu selama-lamanya.
Lanjut ke Injil Yohanes 14:17 :
Yaitu Roh Kebenaran. Dunia tidak dapat melihat Dia dan tidak mengenal Dia. Tetapi kamu mengenal dia, sebab Ia menyertai kamu dan akan DIAM DIDALAM kamu.
Pertanyaan jika ini nubuat buat muhammad :
1. Apakah muhammad tidak dapat dilihat manusia (waktu dia hidup didunia) ?
2. Apakah manusia tidak bisa mengenal dia ?
3. Apakah Muhammad DIAM DIDALAM hati manusia ?
Jawapan : Sepanjang Rasulullah saw berdakwah 13 tahn pertama di Kota Mekah, sekurang-kurangnya 100 orang sahaja yang mengikuti Rasulullah saw. Rasulullah saw sukar untuk diterima oleh oleh manusia ketika itu, dan kebanyakan mereka langsung TIDAK MENGENAL Rasulullah saw adalah Nabi/Utusan Allah swt yang membawa Risalah untuk seluruh umat Manusia.
Roh kebenaran adalah Nabi Muhammad saw yang digelar “Al-Amin” kerana Kebenaran, Kejujuran, Ketulusan dan sebagainya. Disini juga Yesus bersaksi bahawa “KAMU MENGENALNYA, kerana Ia menyertai kamu dan akan diam didalam kamu”.
Ini juga menjelaskan bahawa umat Yahudi dan Nasrani amat kenal dengan Penghibur yang dijanjikan seperti yang di firmankan Allah swt didalam Al-Quran :
Al-Quran Surah Al-Baqarah (2) : 146
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu MENGETAHUI SERTA MENGENALINYA (Nabi Muhammad dan kebenarannya) SEBAGAIMANA MEREKA MENGENAL ANAK-ANAK MEREKA SENDIRI. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).
Jasad mati tetapi jiwa tidak benar-benar mati. Inilah Nabi Muhammad saw bahawa Rasulullah saw tidak pernah mati dan terus berada didalam hati setiap orang Islam yang patuh, ajaran Rasulullah tetap utuh, kukuh didalam hati setiap Insan yang memahaminya dan tidak akan lenyap ditelan zaman mahupun ditindas.
Yesus juga melanjutkan “…kerana Ia menyertai kamu dan akan diam didalam kamu”. Ini juga memperjelaskan bahawa Nabi Muhammad saw sentiasa menyertai kita dan memberi pelajaran dari Al-Quran dan Sunnah menjadi pemimpin kepada kita manusia sehingga hari ini..
Malahan JUTAAN umat Islam yang menghafal Al-Quran di luar kepala, ini juga membawa maksud Rasulullah saw dan Al-Quran menyertai kita selama-lamanya dan akan diam didalam kita.
Islam seluruh dunia tidak pernah lupa pada Nabi Suci Muhammad saw sehingga ke hari ini. Nabi Muhammad saw memang benar-benar Penghibur yang di janjikan Yesus menurut kesaksian Yesus (Nabi Isa a.s) sendiri didalam Kitab Yohanes seperti diatas.
Salam
August 22nd, 2008 at 2:34 am
Sifat plurisme ini tetap tidak bisa menutup ayat-ayat yang “keras” di Alquran yang bisa disalah-gunakan oleh orang-orang yang tidak bertanggung-jawab.
Salam.