KEHARMONIAN ANTARA QURAN DAN SAINS
Oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin
Sains dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Walau bagaimanapun al-Quran bukannya sebuah buku sains. Ia adalah wahyu Allah. Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Walau bagaimanapun terdapat dalamnya ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian alam semesta serta fenomena-fenomena yang berkaitan dengannya.
Sains ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia. Secara dasarnya, penemuan yang sahih tentang alam tidak akan bercanggah dengan al-Quran. Hal ini disebabkan al-Quran dan alam datang daripada Allah: al-Quran diturunkan oleh Allah dan alam dicipta oleh Allah. Kedua-duanya adalah daripada Allah. Justeru, hubungan antara kedua-duanya adalah suatu hubungan yang harmonis.
Antara ayat al-Quran yang menjelaskan tentang hubungan ini ialah ayat 53 dalam surah Fussilat yang bermaksud, “Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar.”
Ada ulama yang mentafsirkan ayat ini secara yang berbeza sedikit. Bagi mereka ayat ini bermaksud, “Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa Islam itu benar.”
Walau bagaimanapun, dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata, “(Allah) akan tunjukkan bukti-bukti serta dalil-dalil di alam ini yang menunjukkan bahawa al-Quran ini adalah benar.” Untuk menerokai dan mengeluarkan bukti serta dalil daripada alam, sains diperlukan.
Seterusnya, berhubung dengan firman Allah yang bermaksud, “Dan pada diri mereka sendiri,” Imam Ibn Kathir berkata, “Berkemungkinan yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah apa yang terdapat dalam tubuh badan manusia yang menakjubkan, sebagaimana yang dapat dilihat dalam ilmu tasyrih (anatomi). Kesemua ini akan menampakkan kebijaksanaan Yang Maha Pencipta.” Untuk mengenali organ serta memahami sistem yang terdapat dalam tubuh manusia, sains juga diperlukan.
Konklusi yang dibuat as-Syeikh Said Hawa berhubung ayat ini amat menarik sekali. Dalam al-Asas fit Tafsir beliau berkata, “Dalam buku saya bertajuk ‘Ar-Rasul’ saya membuktikan bagaimana Allah menunaikan janjinya yang terdapat dalam ayat ini. Jika manusia melihat kepada segenap penjuru alam dan diri mereka sendiri, mereka akan melihat sesuatu yang membenarkan al-Quran. Apabila apa yang mereka lihat itu dikaitkan dengan apa yang terdapat dalam al-Quran, mereka akan meyakini bahawa al-Quran sebenarnya datang daripada Allah. Saya telah memberikan banyak contoh berhubung perkara ini dan sesiapa yang membaca kitab tafsir ini (iaitu al-Asas fit Tafsir) dia akan memahaminya secara yang lebih jelas.”
Dalam Tafsir al-Azhar pula Hamka berkata, “Dalam ayat ini dinyatakan bahawa al-Quran ini kian lama kian nyata kebenarannya. Bukti kebenaran itu akan muncul di segenap penjuru bahkan pada diri mereka (manusia) sendiri. Mungkin beberapa perkara yang diterangkan Quran tatkala ia mula diturunkan belum difahami tetapi kelak (ketika zaman berubah) dan otak manusia menjadi (semakin maju) akan nampaklah kebenaran itu. Sudah 14 abad Quran diturunkan dan semakin berkembang pengetahuan manusia tentang alam (semakin) bersinarlah rahsia kebenaran Quran.”
Justeru, ayat ini merupakan jambatan antara sains dan Quran. Ia mengisyaratkan bahawa penemuan-penemuan sains masa kini yang berkaitan dengan alam dan manusia akan menampakkan, tanpa ragu-ragu lagi, kebenaran al-Quran. Yang penting ialah kajian sains yang dilakukan mestilah merupakan suatu kajian yang sahih dan ayat al-Quran yang hendak ditafsirkan mestilah merupakan satu ayat yang boleh dikaitkan dengannya, selepas merujuk kepada tafsiran yang muktabar. Justeru, penemuan-penemuan sains masa kini boleh dimanfaatkan untuk memahami ayat-ayat tertentu dalam al-Quran.
Hasil Nukilan :Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com
Artikel Lain Dalam Kategori Quran Saintifik
- SOLAT DAN KHUSYUK - November 5th, 2007
- AL-QURAN MELAHIRKAN MINDA PROGRESIF LAGI SAINTIFIK - September 1st, 2007
















September 10th, 2007 at 10:08 am
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Mohon keterangan Dr.Danial berkenaan keterangan ayat Al-Quran ini. Umat Kristian suka sangat mengambil ayat-ayat Al-Quran seperti ayat dibawah ini. Mudah-mudahan saya dapat berkongsi maklumat dengan mereka dengan tunjuk ajar dari Dr.Daniel.
Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.
Surah al-Kahfi (18) ayat 86
Wassalam.
December 28th, 2007 at 12:38 am
Assalamualaikum Encik,
Saya Wan, nak minta izin utk keluarkan sikit maklumat drpd artikel Encik ni. Saya
ni salah sorang dari pelajar KMK dan juga naib setiausaha Lajnah Penerbitan KMK. Klau
Encik x kisah kami nk terbitkan dalam artikel kami dan masukkun alamat Website
Encik skali. harap Encik izinkan………..
January 1st, 2008 at 9:12 am
Sila teruskan. Saya izinkan. Terima kasih.
February 11th, 2008 at 10:14 am
salam..Dr.Saya mahasiswa dari UUM,saya ingin bertanya kepada Dr.bagaimanakah
cara yang paling baik untuk kita menegur serta mengubah sikap seseorang yang lebih
jauh tua daripada kita?terutamanya dalam soal mendirikan solat.selain itu, apakah benar
dakwaan yang menyatakan bahawa apabila seseorang telah
berumur lebih dari 40 tahun, adalah sukar baginya untuk kembali
ke pangkal jalan?
February 28th, 2008 at 10:41 am
Salam. Gunakan kebijaksanaan untuk menegur golongan tua. Tunjukkan contoh yg baik di hadapan mereka dan pergaulilah mereka dengan baik. Jika kita pandai menjaga hati mereka mereka lebih mudah menerima pandangan kita. Ramai dari kalangan kita tidak pandai menjaga hati cuma pandai menegur. Semoga berjaya.